Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD, BSI tingkat kerjasama

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) memeterai Perjanjian Penyertaan Risiko Islam strategik dengan Bank Syariah Indonesia (BSI), sekali gus meningkatkan lagi kolaborasi dalam kewangan perdagangan dan integrasi kewangan patuh syariah serantau.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, di sini, perjanjian yang dimeterai di Ekspo Antarabangsa BSI 2025 di Jakarta International Convention Centre baru-baru ini, membolehkan BIBD dan BSI untuk bekerjasama bagi transaksi kewangan perdagangan seperti surat kredit dan jaminan, dengan tumpuan kepada perkongsian risiko selaras dengan prinsip Islam.

    Menandatangani bagi pihak BSI ialah Pengarah Naib Presiden, Bob Tyasika Ananta manakala BIBD diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    Kerjasama bersejarah itu akan membolehkan BIBD mengembangkan portfolio kewangan perdagangannya dan mengakses aktiviti kewangan perdagangan global sementara mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem kewangan Islam.

    Ia juga mencerminkan keupayaan dan prospek antarabangsa BIBD yang semakin meningkat ketika bank terus berusaha untuk mencari peluang-peluang bermakna untuk menyokong kecairan rentas sempadan, kerjasama institusi dan nilai-nilai bersama dalam amalan kewangan berdaya tahan dan beretika.

    Sesi bergambar ramai selepas penandatanganan Perjanjian Penyertaan Risiko Islam strategik antara BIBD dengan BSI, di Jakarta International Convention Centre, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN BIBD

    Dalam ucapannya, Awang Junaidi berkata perjanjian berkenaan mencerminkan komitmen bersama untuk mengukuhkan kewangan patuh syariah di seluruh rantau.

    Beliau mengambil maklum bahawa walaupun Brunei adalah kecil dari segi saiz, ia kekal amat komited kepada nilai-nilai dan prinsip kewangan Islam serta mengalu-alukan peluang bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi Indonesia untuk membantu mengangkat industri global dan serantau.

    Sebagai bank dan institusi kewangan Islam terbesar Brunei, strategi BIBD menyokong aspirasi negara yang lebih luas di bawah Wawasan Brunei 2035 untuk meletakkan negara sebagai pemain serantau dinamik dalam kewangan Islam.

    Dengan pejabat-pejabat perwakilan ditubuhkan di Singapura dan Dubai, kerjasama terkini dengan BSI merupakan satu lagi langkah penting dalam mengembangkan keberadaan Brunei dan kepimpinan dalam koridor kewangan global utama.

    Perjanjian itu juga selaras dengan Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN yang menggalakkan bank-bank berkelayakan untuk beroperasi merentas sempadan dan mempromosikan kewangan berdaya tahan di seluruh rantau.

    Penyertaan BIBD dalam Ekspo Antarabangsa BSI pada tahun ini menandakan tumpuan diperbaharui terhadap pengukuhan kerjasama dalam ekosistem halal dan mempromosikan kemakmuran bersama melalui penyelesaian kewangan Islam merentas ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda