BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai 2017 – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mencatatkan dividen tertinggi meskipun berhadapan dengan keadaan pasaran ekonomi global yang mencabar.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar, kejayaan tersebut dicapai dengan usaha gigih daripada seluruh anggota kumpulan BIBD serta sokongan daripada para pelanggan, pemegang saham dan stakeholder BIBD.
“Alhamdulillah, kita bukan sahaja telah melipatgandakan dividen tertinggi sebelum ini untuk pemegang saham kami, tetapi kami juga telah memperolehi keuntungan secara berterusan melebihi $100 juta,” tambahnya lagi.
Meskipun berhadapan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu, jelasnya, pelbagai usaha telah giat dilaksanakan dan diteruskan seperti mengenal pasti bidang penambahbaikan ekonomi yang sebenar, membuat keputusan, pelan dan dasar yang bersesuaian dalam literasi kewangan dan kesedaran serta menyelaraskan semua aktiviti ke arah merealisasikan pelan induk sektor kewangan hingga 2025.

“Dengan sokongan pelbagai pihak, dapatlah kita bersama-sama menyumbang sesuatu untuk mengukuhkan ekonomi dan menjadikan Brunei sebagai hab pelaburan yang lebih diiktiraf dengan dasar yang teguh dengan persekitaran pro-perniagaan.”
Dalam hubungan itu, BIBD secara terus-menerus akan berusaha dengan komitmen tinggi untuk melihat lebih banyak peluang bagi menyokong para stakeholder dan menyumbang ke arah meningkatkan ekonomi bagi merealisasikan Wawasan Negara 2035.