Saturday, March 1, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD Connects dilancar semula

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini melancarkan semula BIBD Connects di Taman Mahkota Jubli Emas, dengan penambahbaikan ruang komuniti yang lebih baharu dan bertenaga untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.

    Majlis perasmian berkenaan disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, juga selaku Pengerusi BIBD. Pembukaan semula ini menandakan komitmen berterusan BIBD dalam menggalakkan keterlibatan masyarakat selain menyokong perniagaan tempatan.

    BIBD Connects yang diperbaharui kini dilengkapi dengan lebih banyak tempat duduk dan kawasan berhawa dingin, justeru memberikan suasana yang selesa bagi keluarga dan rakan-rakan untuk berkumpul dan meluangkan masa bersama. Sebagai sebahagian daripada komitmen BIBD dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, ruang vendor turut diperluaskan bagi memberikan lebih banyak peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka. Selain itu, untuk memberi sentuhan budaya KeBruneian, kawasan itu turut dihiasi dengan dua mural menarik hasil karya artis tempatan, Syazwi Shamri dan Guerrilla Architects.

    Syazwi Shamri, seorang artis digital dan tradisional yang terkenal dengan mural, lukisan landskap, serta sketsa bandar, membawa sentuhan uniknya dalam meraikan keindahan warisan budaya Brunei.

    Manakala Guerrilla Architects, pelopor seni grafiti di Brunei, menampilkan mural berskala besar dengan gabungan elemen tradisional dan kontemporari, mewujudkan latar yang berinspirasi bagi masyarakat.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bergambar ramai selepas pelancaran semula BIBD Connects di Taman Mahkota Jubli Emas kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin meninjau petak yang didirikan di BIBD Connects. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Sempena bulan Ramadan, yang sinonim dengan kebersamaan dan kemasyarakatan, BIBD Connects diharap dapat menjadi tempat pertemuan bagi orang ramai untuk bersosial dan mencipta kenangan indah. Ruang tersebut membuktikan komitmen BIBD untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif selaras dengan nilai-nilai kemasyarakatan.

    Sempena perasmian semula BIBD Connect, BIBD turut melancarkan Ramadan Eco Bazaar, meneruskan misinya untuk menyokong perniagaan tempatan dan mempromosikan kelestarian. Kesinambungan daripada kejayaan bazar tahun lalu, edisi kali ini menampilkan hampir 50 PMKS tempatan, memberikan mereka platform untuk berkembang maju.

    Bazar berkenaan turut menggalakkan transaksi tanpa tunai, sejajar dengan visi BIBD dalam membangunkan ekonomi digital dan memperkukuhkan keterangkuman kewangan dengan memperkenalkan kemudahan pembayaran digital yang mudah diakses oleh pelanggan dan peniaga.

    Dalam usaha mencapai matlamat kelestarian, Ramadan Eco Bazaar turut mengadakan kempen kesedaran tentang amalan mesra alam. Orang ramai digalakkan untuk membawa bekas guna semula serta ‘ringkat’ sebagai sokongan kepada inisiatif hijau itu. Di samping itu, vendor juga disarankan mengurangkan pembaziran, menggunakan pembungkusan lestari dan menawarkan produk yang lebih mesra alam, selaras dengan komitmen BIBD terhadap amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

    BIBD Ramadan Eco Bazaar akan berlangsung dari 28 Februari hingga 23 Mac, beroperasi setiap hari dari 3 petang hingga 12 tengah malam.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ahli Lembaga Pengarah, ahli Lembaga Penasihat Syariah, pegawai kanan kerajaan serta pihak pengurusan dan kakitangan BIBD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda