Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) terus menekankan dedikasi kepada penyelesaian kewangan Islam dan inovasi digital yang menggariskan usaha proaktif bank berkenaan untuk memperbaharui susunan teknologinya serta menyediakan perkhidmatan perbankan digital Islam yang lancar di bawah transformasi digital BIBD Group Project Olive menjelang 2025.
Penekanan itu dikongsi oleh Timbalan Pengarah Urusan 2 BIBD, Awang Irwan Lamit dalam ucapannya pada Majlis Memperkenalkan Koleksi Khas Kad Kredit dan Debit Edisi Terhad yang berlangsung di Makmal Inovasi BIBD Project Olive, hari ini.
Beliau turut menekankan peranan menonjol bank berkenaan sebagai pengeluar kad terbesar di Brunei dan impaknya dalam membentuk landskap kewangan negara.
Memastikan sekuriti dan kemudahan pelanggan terus kekal sebagai keutamaan bagi
BIBD, tambahnya, sambil ia berusaha untuk terus menyampaikan penyelesaian kewangan yang cemerlang kepada penduduk Brunei.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa BIBD kekal berubah sepanjang tempoh lebih 30 tahun sejarah penubuhannya bagi memenuhi keperluan pelanggannya yang pelbagai seperti yang pertama memperkenalkan kad kredit Islam tempatan pertama di Brunei, Kad Emas pada 1994, melancarkan kad kredit patuh syariah pertama di Brunei, IDBB
Mastercard Gold Card dan Classic Card serta memulakan perjalanan digitalnya pada
2019 dengan memperkenalkan perbankan internet dan seterusnya penyelesaian perbankan mudah alih seperti QuickPay, digital merchant payment, eDagang dan kad maya.
Majlis kemudian menyaksikan Awang Irwan bersama-sama pihak pengurusan BIBD memperkenalkan koleksi khas kad kredit dan debit edisi terhad BIBD di mana ia merupakan sebagai sebahagian daripada Sambutan Ulang Tahun Mega 30.
Koleksi khas kad berkenaan mengetengahkan tujuh rekaan unik yang mewakili perjalanan bank berkenaan sejak penubuhannya pada 1993.
Setiap rekaan kad kredit adalah terhad kepada hanya 300 keping manakala kad debit edisi terhad pula adalah terhad kepada 3,000 keping di mana pelanggan-pelanggan BIBD berpeluang untuk mendapatkan kad-kad eksklusif berkenaan dengan permohonan kad bermula pada hari ini.
Kad-kad kredit dan debit edisi terhad itu mengetengahkan rekaan mantap yang melambangkan pertumbuhan, inovasi dan keremajaan, di mana kad edisi terhad berkenaan adalah selaras dengan nilai-nilai dan visi masa hadapan BIBD dengan ia beraspirasi untuk menjadi bank Islam digital pertama unggul bagi ekonomi digital dinamik Brunei.