Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD dedikasi kepada inovasi digital

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Transformasi digital akan terus menjadi salah satu daripada keutamaan strategik Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan pada masa ini, BIBD sedang dalam melaksanakan Peta Jalan Digital IT lima tahun komprehensifnya yang merangkumi strategi 3R iaitu Rehost, Revise dan Rebuild.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri dalam kata alu-aluannya pada Persidangan Inovasi Digital Olive (DigiCon 2023) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran Jurnal Projek Olive ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua dan Pengerusi Kumpulan BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Awang Junaidi menyatakan lagi bahawa persidangan itu mengetengahkan pembentangan daripada panel pakar tempatan dan antarabangsa yang mempunyai pengalaman ekstensif serta pandangan unik dalam topik dan tema termasuk bank 4.0, perlindungan data peribadi, sekuriti siber serta pembayaran tempatan dan merentas sempadan.

    Majlis berkenaan telah menyaksikan pelancaran Jurnal Projek Olive yang ditulis bersama oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah BIBD, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dan Timbalan Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Runcit dan Ketua Pegawai Maklumat BIBD, Awang Irwan bin Lamit.

    BIBD semasa terlibat dalam salah satu pameran yang diadakan semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    UNN turut terlibat dalam pameran yang diadakan semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Jurnal itu mendalami aspek-aspek penting perbankan digital dan keserasian dengan prinsip-prinsip kewangan Islam serta menyediakan sumber yang bernilai bagi industri.

    DigiCon 2023 yang dihoskan oleh Kumpulan BIBD merupakan bahagian penting dalam perjalanan transformasi digital Kumpulan BIBD dan menetapkan pentas bagi masa depan di mana pemimpin industri, orang ramai dan komuniti global dapat meneroka serta memahami landskap bank 4.0 dan revolusi perindustrian ke-4 (IR4.0) yang berubah.

    Persidangan itu diadakan bersempena dengan ulang tahun BIBD ke-30 di mana ia mengetengahkan keterangkuman dan peluang-peluang yang timbul daripada teknologi transformatif yang menggariskan komitmen Kumpulan BIBD kepada inovasi dalam sektor kewangan.

    Dihadiri oleh lebih 900 ahli delegasi, persidangan merupakan platform bagi perbincangan mendalam mengenai bagaimana kemajuan digital bank 4.0 bersilang dengan topik-topik kritikal dalam sektor perbankan khususnya dalam bidang sekuriti siber dan perlindungan data.

    Ia mengetengahkan pembentangan perdana bertajuk The Great Transition oleh Pengerusi The Asian Banker, Emmanuel Danial yang membincangkan mengenai evolusi industri perbankan dengan penumpuan kepada pemperibadian (personalisation).

    DigiCon 2023 mengetengahkan dedikasi Kumpulan BIBD kepada inovasi dan perkembangan dalam sektor kewangan dan komitmen kumpulan berkenaan untuk menjana kefahaman dan kesedaran yang lebih dalam kepada peluang-peluang serta cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri dalam transformasi ke Bank 4.0.

    Dalam hubungan itu, persidangan mengetengahkan empat forum utama di mana setiap forum membincangkan aspek-aspek kritikal dalam transformasi digital.

    DigiCon 2023 juga mengetengahkan 15 pempamer daripada pelbagai industri di mana setiap satu daripadanya telah melaksanakan perjalanan mereka sendiri ke dalam IR4.0.

    Pameran berkenaan menyediakan peluang untuk menyaksikan produk digital canggih mereka dengan lebih dekat, menunjukkan bagaimana inovasi berkenaan telah membuat impak yang nyata dalam dunia hari ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda