Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah dinamakan Bank Paling Kukuh di Brunei untuk 2023 dan Bank Islam Paling Kukuh di Brunei oleh The Asian Banker. Pengiktirafan ini disokong oleh prestasi kukuh BIBD merentas metrik kewangan kritikal.
Menurut The Asian Banker, BIBD mempamerkan peningkatan ketara dalam keuntungan, kualiti aset dan kecairan. Mengekalkan kedudukannya sebagai bank terbesar negara berdasarkan jumlah aset, pertumbuhan deposit BIBD sejajar dengan tumpuan strategiknya terhadap pengembangan perniagaan. Selain itu, BIBD juga mempamerkan peningkatan yang membanggakan dalam keuntungan bersih, sekali gus mengesahkan prestasi kewangannya yang kukuh.
The Asian Banker juga menyatakan beberapa petunjuk prestasi utama, terutamanya dalam bidang seperti nisbah pembiayaan tidak berbayar kasar, jumlah nisbah kecukupan modal dan nisbah aset berbanding jumlah deposit dan pinjaman yang melebihi purata industri. Ini meletakkan BIBD dalam ranking 1,000 teratas bank di seluruh dunia dan dalam 500 teratas bank Islam global.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri, merakamkan ucapan terima kasih atas pengiktirafan tersebut, berkata, “BIBD berasa rendah hati dan pada masa sama berbesar hati untuk diiktiraf sebagai Bank Paling Kukuh di Brunei berdasarkan Kunci Kira-kira.
“Anugerah ini datang pada masa penting dalam perjalanan BIBD, ketika kami menyambut ulang tahun ke-30 kami tahun ini.”
Beliau seterusnya mengiktiraf usaha kolektif yang menyumbang kepada pencapaian tersebut.
“Pengiktirafan ini hanya dapat dicapai melalui usaha gigih Pengurusan BIBD, kerja keras dan dedikasi kakitangan, serta bimbingan strategik daripada Lembaga Pengarah BIBD dan Badan Penasihat Syariah.”
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khususnya Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Brunei Darussalam Central Bank atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi.
Selain itu, Awang Junaidi turut mengucapkan terima kasih kepada pelanggan BIBD yang dihargai, sambil menekankan, “Kejayaan BIBD adalah kerana sokongan sepenuh hati dan kepercayaan berterusan pelanggan yang dihargai,” katanya.
BIBD juga baru-baru ini dinamakan Bank Tahun Ini oleh The Banker. Penganugerahan daripada The Asian Banker dan The Banker ini mengesahkan komitmen BIBD yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan, pengurusan kewangan yang teguh dan dedikasi untuk menyediakan perkhidmatan yang luar biasa kepada pelanggannya.