Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bekerjasama dengan Pusat Promosi Kesihatan (HPC) untuk mempromosikan dan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dalam kalangan rakyat Brunei semasa penularan COVID-19 ini dan rancangan jangka panjang sebagai sebahagian daripada kerjasamanya untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, kerjasama itu akan membantu meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai masalah kesihatan mental yang akan dimuat naik di media sosial BIBD dan saluran media sosial Mind Your Mind, HPC.
Pakar Psikologi Klinikal dan Ketua Strategi Kesihatan Mental di HPC, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan dipetik sebagai berkata, kemunculan semula wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah memberi kesan besar terhadap semua orang di mana beberapa perubahan harus dibuat untuk membendung penularan COVID-19.
“Perubahan dan ketidakpastian ini malangnya boleh menyebabkan tekanan, kegelisahan, ketakutan, dan kekurangan motivasi bagi kebanyakan kita. Walaupun ini adalah perkara biasa dan reaksi semasa situasi pandemik, ia mesti ditangani dengan betul dan cepat, kerana penting untuk semua bagi menjaga kesihatan mental yang optimum,” ujar beliau.
Beliau menambah, Kementerian Kesihatan melalui Pasukan Mind Your Mind Brunei di HPC sangat bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan BIBD dan Community for Brunei untuk berkongsi tip dan strategi-strategi yang diharap akan dapat membantu semua orang menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan terutama pada masa-masa yang mencabar ini.
Katanya lagi, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai agar tidak teragak-agak untuk meminta bantuan atau pertolongan profesional sekiranya ada yang merasa tertekan dan gelisah dengan keadaan semasa. Mereka boleh menghubungi Talian Kesihatan Mental 145, bermula 8 pagi hingga 11 malam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar pula mengulas, “Kerjasama ini mencerminkan komitmen BIBD untuk menyokong negara dan masyarakat dalam perjuangan menentang COVID-19 dan pemeliharaan kesejahteraan umum secara keseluruhan.”
Dengan adanya penularan dalam komuniti baru-baru ini, BIBD dan Community for Brunei telah secara aktif mengatur pelbagai inisiatif dengan kementerian-kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan untuk memberi sokongan kepada masyarakat dan mereka terjejas.