Wednesday, September 18, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD, IsDB meterai MoU

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Islamic Development Bank (IsDB) telah memeterai kerjasama strategik melalui memorandum persefahaman (MoU) dalam Majlis Pelancaran IsDB Group Day yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.

    MoU itu adalah untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang kewangan Islam, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta pembangunan belia dengan sokongan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE).

    Majlis tersebut memberi peluang kepada kedua-dua institusi untuk meneroka potensi kerjasama yang selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Pembangunan Jangka Sederhana Negara.

    Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir ialah Pengarah dan Wakil Penduduk, Hab Serantau Indonesia, dan Ketua Delegasi IsDB Group, Datuk Amer Bukvic; dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyaksikan penandatanganan MoU antara BIBD dan IsDB. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Datuk Amer Bukvic melancarkan IsDb Group Day di BKISHHB. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua selepas menyaksikan penandatanganan MoU tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam ucapan alu-aluan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew antaranya menekankan pertumbuhan ketara Brunei dalam kewangan Islam, mencerminkan trend global.

    Yang Berhormat Dato juga berkongsi bahawa aset kewangan Islam negara telah mencecah $13.3 bilion, didorong terutamanya oleh bank-bank dan institusi-institusi kewangan dan pertumbuhan ini telah menempatkan Brunei sebagai key player dalam industri kewangan Islam global.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menggariskan beberapa bidang di mana Brunei dan IsDB boleh lebih mendalami kerjasama, termasuk pembangunan infrastruktur, pertanian dan keselamatan makanan, teknologi dan inovasi, PMKS serta projek lestari hijau.

    Kemuncak majlis menyaksikan penandatanganan MoU antara BIBD dan IsDB, yang membuka jalan untuk kerjasama dalam pembiayaan bersama, pembangunan kapasiti manusia, kewangan perdagangan dan pelaburan mampan.

    Kerjasama itu juga bertujuan memperkukuh peranan BIBD dalam menyokong objektif ekonomi negara dan memajukan misi IsDB dalam pembangunan mampan.

    Majlis turut menampilkan pembentangan pelbagai topik berkaitan kewangan Islam, perdagangan, dan pelaburan, yang memberi peluang kepada peserta untuk meneroka perkhidmatan IsDB Group serta meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.

    Kerjasama itu merupakan langkah penting dalam mencapai matlamat pembangunan ekonomi Brunei, sekali gus memperkukuh industri kewangan Islam serta menyokong pertumbuhan PMKS di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda