Saturday, September 14, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD kekalkan penarafan A-

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengekalkan penarafan A- (Stabil) daripada S&P Global, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai bank terbesar dan salah satu bank paling stabil di Brunei.
     
    Penarafan tersebut menekankan permodalan BIBD yang teguh, keuntungan yang kukuh dan pengurusan modal yang dinamik, penting dalam mengekalkan kedudukan pasaran yang kukuh dan kepentingan sistemik dalam sektor kewangan Brunei.
     
    Pengesahan itu mencerminkan penampan modal BIBD yang amat kukuh, yang memastikan keupayaan bank untuk menyerap kejutan kewangan yang berpotensi selain menyokong pertumbuhan serta kestabilan yang berterusan.
     
    Menurut laporan S&P Global, BIBD terus mengekalkan francais dominan sebagai bank terbesar di Brunei, disokong oleh cawangan dan rangkaian ATM yang luas.
     
    Peranan penting bank dalam menyediakan pembiayaan patuh syariah turut memantapkan lagi kedudukan pasarannya di mana permodalan BIBD yang kukuh terbukti dengan nisbah modal Tingkat-1 sebanyak 18.4 peratus untuk 2023.
     
    GAMBAR SERAHAN BIBD
    Keupayaan bank untuk mengekalkan tahap modal yang tinggi adalah disebabkan oleh keuntungan yang kukuh dan amalan pengurusan modal yang cekap dan berkesan.
     
    Laporan itu turut menyatakan bahawa asas deposit bank yang stabil dan kedudukan kecairan yang kukuh adalah penting kepada operasinya.
     
    S&P Global juga menekankan komitmen BIBD terhadap dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti yang ditekankan dalam Pelan Hala Tuju Rangka Kerja Kelestariannya.
     
    Sementara itu, BIBD akan terus berusaha untuk menyepadukan amalan perbankan yang mampan dan pembiayaan yang bertanggungjawab dalam operasinya.
     
    Pencapaian penarafan A- (Stabil) tersebut membuktikan keutuhan tadbir urus korporat dan amalan pengurusan risiko BIBD di samping mencerminkan dedikasi bank terhadap kecemerlangan untuk terus berkhidmat kepada pelanggan dan masyarakat dengan penuh integriti dan kredibiliti.
     
    Selain itu, usaha gigih dan bimbingan bersepadu daripada pihak lembaga pengarah, badan penasihat syariah, pengurusan dan kakitangan telah menyumbang kepada pencapaian penarafan berprestij ini.
     
    BIBD akan terus berinovasi dan berkembang serta komited untuk memupuk kemapanan ekonomi untuk menyumbang kepada wawasan dan matlamat keseluruhan negara.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda