Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengetengahkan organisasi-organisasi diterajui oleh belia tempatan yang mengambil tindakan dalam usaha menentang perubahan iklim pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, baru-baru ini.
BIBD menyampaikan sembah penerangan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai usaha bank berkenaan dalam mempromosikan kemapanan melalui Peta Jalan dan Rangka Kerja Kemapanan BIBD.
Bank itu, baru-baru ini, juga telah melancarkan skrin LED solar pertama di negara ini bagi meningkatkan kesedaran terhadap tenaga boleh diperbaharui serta juga untuk mengurangkan tapak alam sekitar keseluruhan organisasi berkenaan.
Turut hadir semasa sambutan Hari Belia Kebangsaan berkenaan adalah rakan-rakan kongsi BIBD iaitu Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS), Community for Brunei (CFB) serta organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) yang diterajui oleh belia tempatan termasuk Green Brunei, Reef Check Brunei dan My Action for SDG’s.
Pengerusi Kumpulan Transformasi Kemampanan dan Ketua Pegawai Pemasaran BIBD,
Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar menyatakan bahawa sebagai rakan kongsi dalam kemajuan bagi sebuah masa hadapan mampan, bank itu sering kali bekerjasama dengan pelbagai organisasi bukan kerajaan dan kerajaan yang mana nilai dan matlamat mereka adalah selaras dengan bank berkenaan.
“Kami bangga untuk menyokong rakan-rakan kongsi kami dan NGO diterajui oleh belia tempatan yang melakukan banyak perkara di peringkat akar umbi untuk melibatkan orang ramai dan meningkatkan kesedaran serta pada masa yang sama, mengambil tindakan tegas dalam menentang perubahan iklim,” ujarnya.
Beliau menambah, harapan BIBD apabila melancarkan peta jalan dan rangka kerja kemapanan bank berkenaan adalah mereka akan menerajui haluan dalam kalangan masyarakat dan korporat Brunei untuk menunjukkan pentingnya mengamalkan prinsip kemapanan ke dalam kehidupan seharian dengan kita bekerjasama bagi memastikan masa hadapan yang lebih baik untuk generasi muda kita.
Baru-baru ini, jelasnya, bank berkenaan menjadi organisasi swasta pertama untuk bekerjasama dengan kerajaan Baginda Sultan dalam Race to Zero, menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.