Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD komited dalam amalan kewangan Islam beretika, mampan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menyertai Persidangan Antarabangsa Kewangan Islam dan Mampan (ICIFS) 2025 dengan menekankan komitmennya untuk mempromosikan amalan kewangan yang etika dan menyokong evolusi kewangan Islam.

    ICIFS berlangsung dari 4 hingga 6 Februari lalu di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah itu merupakan satu pencapaian penting dalam memajukan pembangunan lestari dan kewangan etika, baik di Brunei mahupun di peringkat global.

    Persidangan berkenaan berfungsi sebagai platform global untuk sesi dialog, inovasi dan kerjasama yang mengumpulkan pakar, penggubal dasar, dan pemimpin industri untuk meneroka peranan transformasi kewangan Islam dalam menangani cabaran kelestarian yang mendesak.

    Sebagai sebahagian daripada penyertaan, BIBD juga telah mengadakan pameran untuk mempamerkan inisiatif mampan, menyoroti usaha berterusan untuk mengintegrasikan prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) ke dalam operasinya.

    Pameran tersebut juga menampilkan BIBDSEED, inisiatif impak sosial utama BIBD yang memberi tumpuan kepada memperkasakan masyarakat melalui keusahawanan.

    Selain itu, BIBD Securities Sdn Bhd yang merupakan daripada United Nations Principles for Responsible Investment (UNPRI) melalui BIBD Asset Management, menunjukkan komitmen terhadap pelaburan yang bertanggungjawab secara sosial, dengan mempamerkan portfolio penyelesaian pelaburan yang mampan.

    Persidangan berkenaan memberi fokus kepada etika perbankan dan pelaburan mampan yang sangat sejajar dengan usaha berterusan BIBD untuk mendorong impak positif terhadap alam sekitar dan sosial.

    Melalui produk dan perkhidmatan inovatif itu, BIBD terus memperjuangkan amalan kewangan yang selaras dengan matlamat yang lebih luas mengenai kelestarian, memastikan bahawa pertumbuhan ekonomi seimbang dengan tanggungjawab sosial dan pemeliharaan alam sekitar.

    Dengan menjadi penaja utama ICIFS 2025, BIBD menegaskan dedikasi untuk mempromosikan kemampanan sebagai sebahagian daripada operasi teras dan menawarkan penyelesaian kewangan yang menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan inklusif.

    Penglibatan BIBD di ICIFS 2025 secara langsung menyokong Wawasan Brunei 2035 dengan memupuk inovasi dalam kewangan Islam dan kelestarian, yang merupakan sebahagian daripada strategi pengurangan kebergantungan ekonomi Brunei.

    Penajaan BIBD terhadap acara bersejarah ini menekankan kepimpinan bank berkenaan dalam industri kewangan Islam dan komitmen untuk membentuk masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

    Semua di atas: Antara aktiviti semasa persidangan berkenaan – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BIDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda