Oleh Nour Maghrifah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Sebagai tindak balas kepada kebimbangan orang ramai baru-baru ini mengenai penipuan atau transaksi kad kredit dan debit dalam talian yang tidak dibenarkan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengakui isu tersebut dan mengesahkan komitmennya untuk menangani isu-isu ini dengan segera dan berkesan.
Oleh itu, BIBD kekal teguh dalam dedikasinya untuk menyediakan persekitaran perbankan yang seimbang dan selamat untuk keselamatan para pelanggan bank.
Tambahan pula, BIBD tidak menemui bukti untuk menyokong dakwaan urus niaga orang dalam seperti yang didakwa dalam media sosial. Aduan awam baru-baru ini melibatkan transaksi tanpa kebenaran berlaku di luar sistem BIBD dan di luar kawalan BIBD.
Sebagai langkah berjaga-jaga, para pelanggan dinasihatkan supaya tidak menyimpan butiran kad kredit atau debit mereka dalam mana-mana pelayar web. BIBD juga menasihatkan pelanggan-pelanggan untuk melumpuhkan tetapan pemindahan automatik dan isian automatik dalam aplikasi media sosial pada telefon untuk mengelakkan potongan-potongan yang tidak dibenarkan atau automatik. Selain itu, para pelanggan tidak seharusnya mendedahkan butiran perbankan mereka kepada pihak ketiga dalam apa jua keadaan.
Di peringkat global, transaksi kad diproses oleh syarikat-syarikat getaway payment yang dipilih oleh peniaga masing-masing. BIBD tidak mempunyai kawalan ke atas syarikat-syarikat ini. Apabila transaksi diproses, syarikat getaway payment merekodkan butiran kad untuk melengkapkan transaksi.

Terdapat keadaan di mana syarikat getaway payment ini telah dikompromi yang membawa kepada kebocoran data pemegang kad termasuk dari Brunei.
Proses ini berlaku di luar sistem BIBD dan BIBD mengesahkan sistemnya tidak terjejas, seperti yang disahkan oleh semakan pihak ketiga yang bebas.
BIBD sentiasa bekerjasama dengan pembekal skim kad seperti Mastercard dan Visa untuk
mengeluarkan kad debit atau kredit atau maya. Mastercard dan Visa telah mewujudkan mekanisme pertikaian kad dengan bank di seluruh dunia.
Sebagai bank pengeluar kad, BIBD komited sepenuhnya untuk membantu pemegang kadnya dalam membangkitkan pertikaian dengan penyedia skim kad yang berkaitan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh setiap pembekal, berikutan penyiasatan menyeluruh dan proses pengesahan.
BIBD memahami keperluan para pelanggan untuk mendapatkan penyelesaian yang pantas dan sedang bekerjasama dengan pembekal skim kad masing-masing. Walau bagaimanapun, tempoh masa penyiasatan bergantung mengenai prosedur dalaman mereka dan akan memberikan kemas kini tentang kemajuan yang sewajarnya.
Mengenai cara menimbulkan pertikaian transaksi kad, BIBD turut menjelaskan agar para pelanggan kad yang terjejas boleh menimbulkan pertikaian transaksi kad dengan terus menghubungi Pusat Hubungan BIBD di talian 223 8181 dengan segera untuk melaporkan penipuan transaksi kad; dan sila hantar aduan kepada Unit Penyelesaian Pelanggan Pusat: iaitu melalui e-mel kepada customer.resolution@bibd.com.bn. Begitu juga mereka dikehendaki untuk terus mengunjungi mana-mana cawangan BIBD, untuk terus memfailkan pertikaian secara peribadi.
Oleh yang demikian, sebagai langkah-langkah proaktif bagi melindungi para pelanggan, BIBD juga telah mengambil langkah proaktifnya untuk menyekat getaway payment dalam talian berisiko tinggi tertentu. Pelanggan-pelanggan mungkin melihat sekatan apabila menggunakan kad mereka di laman web ini. Walaupun ini mungkin menimbulkan kesulitan kepada para pelanggan, ia merupakan langkah yang perlu untuk mencegah transaksi tanpa kebenaran dan memberikan jaminan bahawa bank sedang giat berusaha untuk mengurangkan potensi risiko.
Dalam pada itu, ke arah usaha berterusan untuk meningkatkan keselamatan kad dan menyelesaikan pertikaian, para pelanggan yang mengesyaki kad kredit, debit atau maya mereka telah terjejas harus meminta sekatan segera pada kad mereka dan BIBD akan mengeluarkan penggantian kad baharu yang dikeluarkan dengan segera.
Begitu juga, pengguna boleh menyekat kad debit dan kad maya mereka melalui aplikasi mudah alih BIBD NEXGEN Wallet dan meminta penggantian dengan menghubungi pusat hubungan bank.
Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, pelanggan juga dinasihatkan untuk tidak menyimpan butiran kad kredit mereka dalam mana-mana pelayar web. Selain itu, pelanggan tidak seharusnya mendedahkan butiran perbankan mereka kepada pihak ketiga dalam apa jua keadaan. BIBD turut tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggannya atas pemahaman dan kerjasama mereka dalam bersama-sama mengharungi cabaran global ini.

