Gambar oleh BIBD
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan kumpulan syarikat subsidiarinya, baru-baru ini, telah mengadakan majlis tadarus dan tahlil yang berlangsung di ibu pejabatnya di ibu negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, majlis tahunan berkenaan dihadiri oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar, warga pengurusan kanan dan kakitangan bank berkenaan.
Majlis tadarus telah bermula sejurus selepas sembahyang Fardu Zuhur dan disertai oleh kakitangan BIBD.
Sementara itu, bacaan tahlil didahului dengan bacaan Surah Yasin sebelum tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Kenyataan menyatakan, majlis berkenaan merupakan salah satu acara keagamaan tahunan yang diadakan semasa bulan Ramadan untuk meraih ganjaran pahala berlipat ganda dan mendapatkan keberkatan Allah SWT, mengingati mereka yang telah kembali ke rahmatullah serta mengukuhkan silaturahim dalam kalangan warga bank berkenaan.

