Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Selaras dengan visinya untuk menjadi sebuah institusi tanda aras, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sekali lagi melakar satu sejarah penting dalam penubuhannya apabila ia menerima Sijil Pengiktirafan ISO 9001:2015 bagi Provision of retail customers onboarding and personal financing services dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat BIBD, di sini, hari ini.
Dengan penerimaan persijilan itu, BIBD menjadi satu-satunya bank di Negara Brunei Darussalam yang dianugerahkan persijilan berkenaan bagi kesemua cawangan bank berkenaan.
Hadir untuk menyaksikan majlis penganugerahan sijil berkenaan ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar; Pengarah Urusan BSI Malaysia, Poon Cheong Yuen; Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dan pengurusan kanan serta pegawai-pegawai BIBD.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa persijilan itu akan memastikan bank berkenaan akan dapat mengurangkan sebarang risiko yang berpotensi dan pada masa yang sama, membangunkan serta mengekalkan penyampaian perkhidmatan berkualiti, komunikasi yang kohesif serta patuh pada peraturan dan memberikan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan.
Persijilan ISO itu, ulasnya lagi, merupakan satu lagi pencapaian yang mencerminkan cita-cita bank berkenaan dan pada masa yang sama, mengulangi strategi kebangsaan untuk menanam urus tadbir yang baik, perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan prosedur-prosedur yang moden, pragmatik dan efisien.


Usaha itu, tambahnya lagi, adalah untuk menyokong pelan tindakan sektor kewangan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan menekankan kepada tonggak pengalaman pelanggan yang terbaik, menunjukkan budaya profesional, integriti dan etika kuat yang mana ia bukan sahaja menanam keyakinan dalam kalangan orang ramai tetapi juga dapat memupuk sebuah komuniti celik kewangan dan teknologi serta dapat memaju kedudukan negara sebagai sebuah pusat kewangan moden dan beretika.
Haji Minorhadi juga menyatakan bahawa BIBD akan terus berusaha untuk mengembangkan lagi akreditasi ISO kepada lebih banyak perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan bagi merangkumi nilai-nilai integriti, fokus pelanggan, perpaduan dan kecemerlangan.
Sementara itu, Poon Cheong Yuen dalam ucapannya pula menyatakan bahawa secara global terdapat lebih daripada 1.2 juta buah organisasi yang diiktiraf dengan persijilan ISO 9001 di mana ia bukan sahaja terus relevan tetapi mampu untuk meningkatkan lagi keupayaan sesebuah organisasi untuk memberikan perkhidmatan secara konsisten untuk memenuhi keperluan pelanggannya.
Beliau berkata bahawa Kumpulan BSI amat berbesar hati diberikan peluang untuk mengambil bahagian dalam perjalanan BIBD menuju ke arah kecemerlangan dan penerimaan persijilan ISO 9001:2015 merupakan mercu tanda yang signifikan bagi BIBD.
Ketua Juruaudit BSI, Lim Tuan Chee pula dipetik menyatakan bahawa BIBD mempunyai sistem pengurusan kualiti yang amat baik dan kesedaran pada setiap peringkat proses di mana sepanjang perjalanan persijilan berkenaan, kesemua kakitangan BIBD memberikan kerjasama dan sikap positif semasa proses penilaian.
Semua itu, jelasnya, menunjukkan komitmen pihak pengurusan atasan, pendekatan sistematik dan berpandukan kepada proses ke arah prestasi kualiti, konsistensi perkhidmatan serta mampu untuk memenuhi keperluan kakitangan dan pihak-pihak yang berkepentingan.
Majlis kemudian menyaksikan Poon Cheong Yuen menyampaikan Sijil ISO 9001:2015 kepada Haji Minorhadi dengan disaksikan bersama oleh Mubashar Khokhar dan Hajah Noraini.