BIBD laksana sirah amal ke-10

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan BIBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk membantu keluarga dan ahli masyarakat yang kurang bernasib baik, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengadakan aktiviti Sirah Amal bagi tahun ke-10 dalam semangat untuk mengalu-alukan bulan suci Ramadan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini, kakitangan bank berkenaan berganding bahu untuk memberikan keriangan kepada keluarga yang dilawati dengan menyampaikan sumbangan dan bantuan berupa barangan keperluan harian, barangan sembahyang serta pelbagai barang untuk persiapan bulan Ramadan dan Syawal yang bakal
menjelang.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa Sirah Amal ke-10 telah bermula pada 17 April lalu dengan mengadakan kunjungan dan menghulurkan bantuan kepada keluarga-keluarga di Daerah Brunei dan Muara serta dilanjutkan ke empat-empat daerah dalam tempoh seminggu.

Berikutan dengan penularan pandemik global, COVID-19, kakitangan bank berkenaan mengamalkan dan mematuhi dengan tegas langkah-langkah pencegahan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk penjarakan sosial dan fizikal.

Semasa kegiatan amal berkenaan, hanya dua orang kakitangan sahaja dibenarkan bagi setiap rumah yang dikunjungi untuk menyampaikan barangan sumbangan kepada keluarga yang dilawati.

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat mengalu-alukan ketibaan bulan suci, Ramadan dengan meneruskan kegiatan amat tahunan mereka.

Beliau menerangkan lagi bahawa Sirah Amal BIBD merupakan platform yang baik bagi mereka untuk berkongsi keberkatan khususnya dengan mereka yang kurang bernasib baik mereka dapat menikmati sambutan bakal menjelang dengan lebih gembira bersama keluarga mereka.

Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini bin Haji Sulaiman menyampaikan sumbangan kepada penerima bagi Sirah Amal BIBD ke-10.
Ketua Pengawal Kewangan BIBD, Tan Pheng Leong menyampaikan sumbangan kepada para penerima bagi Sirah Amal BIBD ke-10.