Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD laksana Sirah Amal ke-14

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan kunjungan ke 100 buah rumah di seluruh negara bagi melaksanakan Sirah Amal ke-14 sebagai menandakan ketibaan bulan suci Ramadan.

    Sumbangan berupa baucar membeli-belah dan lainnya seperti makanan dan keperluan Hari Raya itu diharap dapat meringankan beban dalam membuat persiapan untuk bulan Ramadan dan kedatangan bulan Syawal nanti.

    Dalam inisiatif tahunan berkenaan, penerima termasuk pelajar BIBD ALAF dan mualaf yang kurang berkemampuan yang telah dikenal pasti melalui kerjasama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Inisiatif berkenaan telah melibatkan lebih 100 orang kakitangan untuk menyerahkan pelbagai bekalan bantuan.

    Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar berkata, “Sirah Amal tahunan kami mengingatkan tentang pentingnya peranan kemurahan hati dalam kehidupan kita, dan ia bukan sahaja merangkumi belas kasihan tetapi juga prinsip teras Maqasid Syariah, yang menekankan kepentingan keadilan dan kesaksamaan sosial.

    “Melaluinya, kami berhasrat untuk meringankan kesusahan mereka yang kurang bernasib baik, seterusnya memupuk lebih banyak masyarakat yang adil dan saksama,” tambahnya.

    Program Sirah Amal telah bermula pada 8 Mac di Daerah Brunei dan Muara dan seterusnya diperluaskan untuk merangkumi kesemua daerah lain.

    Inisiatif ini diterajui oleh pasukan pengurusan kanan bank dan penyertaan aktif pegawai dan kakitangan bank berkenaan.

    Hajah Nurul Akmar serta kakitangan BIBD bergambar ramai semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    Kakitangan BIBD berkunjung dan mengagihkan sumbangan kepada para penerima dalam aktiviti tahunan, Sirah Amal ke-14. – GAMBAR SERAHAN BIBD

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda