Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD lancar Festival Pameran Rumah

    Oleh Rafidah Jumat

    Gambar Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah melancarkan siri ke-15 Festival Pameran Rumah di BIBD Connects Taman Mahkota Jubli Emas, hari ini, dengan menawarkan lebih 100 hartanah dan rumah.

    Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Pameran rumah berkenaan mengetengahkan trend terbaharu dalam reka bentuk rumah termasuk kelengkapan sedia ada, binaan dan kaedah pemasangan. Pameran yang diadakan dua kali setahun itu juga merupakan landasan untuk menggalakkan golongan muda yang berkerjaya membuat perancangan kewangan mereka secara teratur termasuk pembelian rumah pada peringkat awal.

    Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dalam ucapannya berkata, pihaknya menyasarkan untuk merealisasikan keperluan mereka yang berkerjaya dalam lingkungan usia antara 25 dan 40 tahun, yang terdiri daripada kira-kira 60 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

    Pihaknya turut menggalakkan mereka untuk merebut peluang awal ini dengan memasukkan pembelian rumah sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan mereka, tambah beliau.

    ATAS& BAWAH: Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan meninjau petak-petak pameran di Festival Pameran Rumah BIBD ke-15.

    Pada suku tahun pertama 2019 sahaja, lebih daripada 100 rumah baharu telah dibeli, yang mana jumlah ini mencerminkan sentimen positif dalam kalangan pembeli rumah dan pelabur dalam pasaran hartanah yang semakin berkembang di negara ini.

    Pameran juga berfungsi sebagai saluran bagi usahawan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pereka dalaman mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.

    Semasa pameran itu, pelanggan yang melanggan BIBD Aspirasi dengan minimum $500 juga akan mendapat kotak syiling digital.

    Melalui pameran itu, BIBD turut mempamerkan QuickPay sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menyokong urus niaga yang lancar melalui teknologi telefon bimbit.

    Pesta pameran yang berlangsung sehingga 25 Ogos itu turut disertai peniaga-peniaga makanan dan minuman, yang kebanyakan menggunakan BIBD QuickPay.

    BIBD turut menawarkan hadiah melalui program ‘Scan and Reward’ kepada para pelanggan yang membayar menggunakan BIBD QuickPay.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda