Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah melancarkan Projek Alam Mampan yang merupakan inisiatif pemulihan alam sekitar bercita-cita tinggi selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Projek itu menekankan komitmen BIBD ke arah pemulihan dan pemuliharaan alam sekitar menerusi pendekatan holistik.
Ia bermatlamat untuk menangani pelbagai aspek kemampanan alam sekitar dengan inisiatif penanaman pokok, 660 Roots to a Greener Future, sebagai inisiatif pertama dilaksanakan di bawah projek berkenaan yang menumpukan kepada SDG 15 iaitu kehidupan di darat.
Sehubungan itu, majlis pelancaran projek itu menyaksikan penanaman sebanyak 40 pohon pokok di Taman Mahkota Jubli Emas bagi memperingati Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 serta ulang tahun BIBD, hari ini.
Majlis telah dirasmikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi BIBD; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.


Turut hadir ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri, Pengerusi Badan Penasihat
Syariah, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli Lembaga dan Badan Penasihat Syariah BIBD serta pengurusan kanan dan kakitangan BIBD.
Inisiatif 660 Roots akan menyaksikan pokok-pokok ditanam di keempat-empat daerah dengan kerjasama Green Brunei, iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan mempromosikan kemampanan alam sekitar menerusi pendidikan, pemuliharaan dan advokasi.
Projek itu akan dikembangkan tidak lama lagi untuk meliputi inisiatif-inisiatif menyokong Hari Lautan Sedunia dan meneroka pelbagai projek pemulihan batu karang selaras dengan SDG 14 iaitu kehidupan di dasar laut.
Menerusi usaha-usaha berkenaan, BIBD berhasrat untuk menyumbang kepada pemuliharaan dan pemulihan pelbagai ekosistem Brunei dari darat ke laut.
Projek berkenaan selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan komitmen negara yang meluas di bawah SDG PBB.

