Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) tidak ketinggalan untuk menyertai dan memberikan sokongan penuh semasa Pesta Ria Kewangan (Financial Fun Fair) Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) yang berlangsung di Colonade, Taman Permainan Jerudong, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, semasa acara itu, mereka telah menyediakan pelbagai kegiatan dan permainan perancangan kewangan yang mengetengahkan perbezaan perbelanjaan dari segi kemahuan dan keperluan serta juga untuk menguruskan kewangan dengan bijak dan pentingnya untuk menyediakan bajet.
Kenyataan turut menyatakan bahawa lebih 10 orang perancang kewangan Islam bertauliah BIBD berada di acara berkenaan untuk memberikan bantuan kepada para pengunjung termasuk pelajar-pelajar dalam menjayakan kegiatan yang disediakan serta juga untuk memperkayakan lagi bahan perancangan kewangan yang diagihkan semasa acara berkenaan.
Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar ketika mengulas mengenai penyertaan BIBD dalam acara itu, menyatakan bahawa BIBD turut berkongsi komitmen dalam memastikan pentingnya untuk meningkatkan kesedaran untuk mempunyai pengurusan kewangan yang baik dari awal lagi.

Oleh itu, dengan sokongan yang kuat dan penekanan daripada AMBD, bukan sahaja golongan belia akan menjadi lebih awal lagi untuk menjadi matang dalam keupayaan dan ilmu pengetahuan kewangan mereka tetapi ia juga menyediakan mereka dengan ilmu pengetahuan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.
Kenyataan menjelaskan lagi bahawa penyertaan BIBD dalam acara itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kesedaran dan manfaat daripada pengurusan kewangan yang lebih baik serta pada masa yang sama, menekankan perlunya untuk meningkatkan kesedaran literasi kewangan di Negara Brunei Darussalam.