Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD mudah urusan biaya rumah

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 3 Nov – Bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai terutama sekali pelanggannya di Daerah Belait, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah melancarkan perkhidmatan Pembiayaan Rumah, di bawah cawangannya di Panaga yang kini dinamakan semula sebagai BIBD Panaga Home Centre.

    Pelancaran penamaan semula cawangan itu, hari ini, telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim selaku tetamu kehormat majlis.

    Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dalam ucapannya menjelaskan, pusat yang didedikasikan khas itu adalah fokus pertama BIBD bagi tawaran berkenaan dan memberikan tumpuan kepada pemilik rumah yang sedia ada dan bakal pemilik rumah. Dengan adanya cawangan sehenti itu akan memudahkan lagi urusan demi merealisasikan rumah impian pelanggan.

    Menurut beliau, ia merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha BIBD untuk lebih memahami dan menyokong keperluan pelanggan mereka dan memperkaya pengalaman pelanggan dengan lebih lanjut.

    “Kami berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada para pelanggan kami, fokus kepada Pembiayaan Rumah juga mencerminkan peralihan dalam trend yang kita lihat, di mana, semakin ramai belia kita memulakan pengurusan harta mereka lebih awal, khususnya dengan pembelian awal rumah dan ini sangat menggalakkan, bukan hanya untuk belia kita, tetapi juga untuk masa depan Brunei Darussalam dan kami di BIBD akan memastikan sentiasa berada di sini untuk memberikan sokongan,” katanya.

    Haji Azmi ketika melancarkan semula cawangan BIBD di Panaga kepada BIBD Panaga Home Centre sambil disaksikan oleh Hajah Nurul Akmar.
    Salah seorang pegawai BIBD Panaga Home Centre menerangkan perkhidmatan yang BIBD tawarkan kepada pelanggan.

    BIBD Panaga Home Centre menyediakan skim pembiayaan rumah yang menyokong pemilik rumah dengan pembelian dan pembinaan rumah, pembelian tanah, pembiayaan semula rumah/gadai janji dan perkhidmatan lain melalui pakar dan ejen dedikasi bank.

    Dalam temu bual Media Permata bersama Hajah Nurul Akmar selepas majlis pelancaran, beliau menjelaskan bahawa BIBD mempunyai produk yang sangat luas terutamanya dalam pembiayaan rumah dan sebagai stakeholder khususnya dalam industri kewangan, BIBD perlu menyokong inisiatif kerajaan terutamanya peluang kepada belia-belia supaya mereka lebih bijak dengan perancangan kewangan dan menguruskan kewangan dengan betul dan bermanfaat demi masa depan mereka.

    “BIBD bukan saja mahu dilihat sebagai pembiaya kewangan sahaja tetapi juga sebagai rakan dalam masa yang panjang untuk keperluan kewangan dan kami mahu memastikan orang ramai terutama pelanggan benar-benar mengambil kira apa yang kami berikan adalah untuk melindungi mereka dan memastikan mereka tinggal di rumah yang memuaskan dan selamat untuk jangka masa yang panjang,” katanya.

    BIBD merupakan institusi kewangan yang terbesar di Negara Brunei Darussalam, memimpin pasaran dalam aset, kewangan dan cagaran, dengan visi untuk menjadi terkenal di peringkat global sebagai penanda aras institusi kewangan Islam.

    Majlis pelancaran berkenaan juga bertujuan untuk memberitahu kepada orang ramai terutama pelanggan bahawa cawangan BIBD di Panaga yang telah dibuka pada 13 November 2013 dengan nama BIBD cawangan Panaga kini dikenali sebagai BIBD Panaga Home Centre yang turut memfokuskan kepada perkhidmatan Pembiayaan Rumah di samping menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan lain kecuali kaunter pengeluaran dan penyimpan wang, sebaliknya menyediakan perkhidmatan mesin ATM bagi perkhidmatan pengeluaran dan deposit kewangan pelanggannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda