Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) melalui Bahagian Kumpulan Perbankan Runcit (RBG) telah menyumbangkan sebanyak $2,500 untuk Tabung Orang-orang Cacat Brunei Darussalam.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan pada majlis yang diadakan di Pusat Bahagia Brunei dan Muara, hari ini, di mana mewakili Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk menerima sumbangan berkenaan ialah Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman.
Manakala, sumbangan disampaikan oleh Ketua Bahagian Jualan, RBG, Hajah Rohani binti Haji Salleh.
Menurut kenyataan JAPEM, sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan daripada promosi sempena bulan Ramadan, Aidiladha Treats bagi pengguna kad kredit.
Ia disalurkan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat pihak RBG kepada tabung persatuan yang dipilih iaitu Tabung Orang-orang Cacat Brunei Darussalam.
Sumbangan berkenaan diharap dapat membantu meringankan keperluan golongan yang memerlukan khususnya orang kelainan upaya (OKU) di samping untuk meraih keberkatan pahala, sekali gus untuk mendapat keredaan daripada Allah SWT.



