Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD perkasa bakat belia

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) terus menunjukkan komitmennya untuk membangun bangsa dan mempromosikan masa depan yang mampan bagi Negara Brunei Darussalam dengan mengiktiraf dan memperkasakan bakat muda melalui Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD.

    Sehubungan itu, empat kumpulan belia terdiri daripada Brumi Lestari, Green Space, Purrfectly Green, dan Green Pearls telah menerima anugerah berkenaan atas pencapaian mereka setelah berjaya membentangkan penyelesaian inovatif untuk menangani isu alam sekitar yang kritikal, seperti pengurusan sisa makanan dan mempromosikan kehidupan mampan.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian anugerah pada Majlis Penganugerahan Kepimpinan Belia Mampan BIBD yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Menerusi anugerah di bawah payung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-12 itu telah dipecahkan kepada empat kategori utama iaitu Kategori Pengeluaran Bertanggungjawab; Kategori Gaya Hidup Mampan; Kategori Pengurusan Sisa; dan Kategori Sisa Makanan.

    Di bawah Kategori Pengeluaran Bertanggungjawab telah dimenangi oleh Brumi Lestari yang menyasarkan penyediaan perkhidmatan pelaporan sisa makanan komprehensif dengan memfokuskan kepada pengeluaran prapengguna.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan anugerah bagi Kategori Gaya Hidup Mampan kepada Green Space. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan anugerah kepada Purrfectly Green bagi Kategori Pengurusan Sisa. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Perkhidmatan berkenaan termasuk pengumpulan data menggunakan skala dan aplikasi pintar melalui Internet of Things (IoT) dan analisis amalan penyebab sisa melalui pemerhatian. Ia akan menyediakan pelaporan kepada perniagaan dan membantu mengenal pasti kawasan di mana mereka boleh mengurangkan sisa bekalan.

    Sementara itu, anugerah bagi Kategori Gaya Hidup Mampan telah diraih oleh Green Space yang mempunyai tujuan untuk membantu orang ramai memahami dan menggunakan SDG, memfokuskan pada penggunaan yang bertanggungjawab dan kehidupan mampan.

    Mereka juga berhasrat menggunakan platform media sosial untuk mendidik orang ramai tentang amalan dan tabiat terbaik yang boleh menyokong kehidupan mampan.

    Dengan tujuan untuk mengubah sisa makanan menjadi makanan haiwan peliharaan, mengguna pakai piawaian kesihatan dan juga aspek kehalalan yang bersesuaian telah membawa Purrfectly Green merangkul anugerah bagi Kategori Pengurusan Sisa.

    Manakala Green Pearls telah memenangi anugerah di bawah Kategori Sisa Makanan, dengan tujuan untuk menambah baik pengurusan sisa makanan di Brunei Darussalam.

    Dengan projek perintis menangani kawasan komuniti seperti perkampungan penempatan semula, kumpulan itu berhasrat mendekati golongan pemimpin masyarakat dan membawa kesedaran tentang pengasingan sisa yang boleh diproses untuk menjadi kompos pertanian.

    Setiap kumpulan dianugerahkan $3,000, dan akan bekerjasama dengan rakan kongsi strategik masing-masing daripada sektor kerajaan dan swasta untuk sembilan bulan akan datang bagi membangunkan dan memperkasakan serta mengembangkan lagi idea mereka menjadi bukti konsep dan seterusnya disokong untuk potensi pengkomersialan.

    Dilancarkan tahun lepas, Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD mengiktiraf dan meraikan sumbangan cemerlang belia Brunei ke arah mewujudkan masa depan yang mampan. Anugerah tersebut berfungsi sebagai pemangkin kepada inovasi dan memperkasakan generasi akan datang untuk menangani cabaran alam sekitar, sosial dan ekonomi.

    Hal tersebut sekali gus bagi menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19 kelmarin di ICC, di mana BIBD mendapat penghormatan untuk mempamerkan pemenang-pemenang bagi inisiatif Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD ke-2 kehadapan Baginda Sultan.

    Platform berprestij tersebut membenarkan BIBD untuk menonjolkan potensi belia Brunei dan impak positif yang mereka cipta.

    Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar yang juga Ketua Kumpulan Transformasi Mampan BIBD, berkata pengumuman pemenang Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD hari ini menandakan peristiwa penting dalam kerjasama pihak bank dengan Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Brunei Darussalam (BNCCC).

    Inisiatif berkenaan adalah tindak balas langsung kepada komitmen bersama bank, sebagaimana yang digariskan dalam memorandum persefahaman, untuk memupuk penyelesaian inovatif bagi masa depan yang mampan.

    “Dengan memperkasakan minda golongan muda dan menyediakan mereka dengan sumber untuk menangani cabaran alam sekitar, kita bukan sahaja melabur dalam belia negara kita tetapi juga mengambil langkah konkrit terhadap aspirasi rendah karbon Brunei.

    “Kami percaya bahawa pemimpin muda ini akan memainkan peranan penting dalam memacu perubahan positif yang diperlukan untuk mencapai visi bersama kami tentang negara yang mampan dan berdaya tahan,” tambahnya.

    Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD adalah usaha kolaboratif yang melibatkan Unit SDG, Pejabat Wawasan di bawah Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Belia di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Green Brunei; dan Majlis Belia Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda