Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD perkenal dua produk terbaru

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Dis – Dengan hasrat untuk memberikan sokongan, memudahkan urus niaga harian dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada usahawan dan perniagaan tempatan supaya mereka berpotensi untuk terus berkembang, Bahagian Perbankan Korporat, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) akan memperkenalkan dua produk perbankan terbarunya iaitu Akaun Semasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Al-Wakalah BIBD dan BizNet bermula 2 Januari 2018.

    Pengumuman produk terbaru yang diperkenalkan oleh Bahagian Perbankan Korporat itu dibuat oleh Pengurus Kanan, Bahagian Perbankan Korporat, Pengiran Sanusi Iskandar bin Pengiran Haji Ismail dan Pengurus Bahagian Perbankan Korporat, Andy Lau semasa sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat BIBD, di sini, hari ini.

    Menurut Pengiran Sanusi Iskandar, Akaun PMKS BIBD dibukakan kepada para pemohon baru syarikat-syarikat PMKS di semua sektor yang mana ia diperkenalkan dengan matlamat untuk mempromosikan ease of doing business bagi PMKS di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau berkata lagi bahawa akaun itu diperkenalkan bagi menanam sikap urus tadbir yang baik, pemantauan dana yang teratur serta budaya amalan menyimpan di kalangan pengusaha PMKS.

    Pengiran Sanusi Iskandar menjelaskan lagi bahawa akaun berkenaan hanya untuk syarikat-syarikat mikro dan kecil persendirian atau rakan kongsi serta syarikat baru atau yang berdaftar dengan jabatan-jabatan kerajaan yang relevan bagi tempoh tiga tahun dan ke bawah. Salah satu ciri yang unik bagi akaun itu adalah baki harian minimum bagi akaun berkenaan adalah $50 dan ia mempunyai pelbagai manfaat termasuk pemberian dividen bagi baki yang mencecah $3,000 serta layak untuk menyertai bengkel atau seminar yang dianjurkan oleh Kumpulan Perbankan Korporat.

    Pengiran Sanusi Iskandar (kanan) memberikan penerangan kepada pihak media mengenai Akaun BIBD PMKS terbaru yang akan mula diperkenalkan pada 2 Januari 2018.

    Beliau menyatakan bahawa akaun itu dirangka hasil daripada maklum balas orang ramai khususnya para usahawan tempatan serta diharap melalui pengenalan akaun itu, ia akan menggalakkan perusahaan mikro dan kecil untuk mempunyai rekod transaksi yang teratur serta membolehkan mereka membezakan pendapatan individu daripada pendapatan perniagaan atau perusahaan mereka.

    Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai akaun itu boleh berkunjung ke semua cawangan BIBD termasuk cawangan SME 360 di Cawangan Serusop dan Seria.

    Manakala itu, Andy Lau semasa sidang media berkenaan, memberikan penerangan mengenai BIBD BizNet yang merupakan platform perbankan dalam talian korporat baru serta yang dikemaskinikan bagi memberikan perkhidmatan yang lebih komprehensif dan efisien kepada pelanggan-pelanggan korporat mereka.

    Beliau menerangkan bahawa BIBD BizNet akan membantu para pelanggan korporat dalam pengurusan harian akaun mereka dan operasi pembayaran mereka. Ia juga sebagai usaha untuk menyokong usaha kerajaan bersama usahawan tempatan bagi meningkatkan lagi ease of doing business di Brunei.

    Di samping itu, ia juga adalah selaras dengan pelan strategik dan objektif AMBD untuk mengurangkan penggunaan wang tunai dan cek dalam negara dalam tempoh lima tahun akan datang di mana ia akan mengurangkan kos serta menggalakkan inovasi.

    Beliau menerangkan bahawa BIBD BizNet mengetengahkan beberapa ciri terbaru dan inovatif bagi pelanggan-pelanggan korporatnya termasuk pengurusan anak-anak syarikat dan syarikat induk dengan menggunakan satu token sekuriti, pemindahan telegrafi yang lebih efisien dan pengurusan pembayaran gaji yang lebih efisien dan mudah.

    Menurut Andy Lau, BIBD BizNet akan dilancarkan pada 2 Januari 2018 dan ia akan diperkenalkan kepada pelanggan-pelanggan korporat yang baru manakala platform BizNet dan platform perbankan internet korporat (CIB) sedia ada akan berjalan selari antara satu sama yang lain. Beliau menjelaskan bahawa bagi pelanggan CIB yang sedia ada, mereka akan berpindah ke platform terbaru itu, BizNet secara berperingkat-peringkat mengikut kumpulan masing-masing dan mereka akan dihubungi secara individu mengenai prosedur serta bagaimana mereka akan berpindah ke sistem BizNet terbaru itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda