Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan kumpulan-kumpulan syarikatnya, kelmarin, telah meraikan 243 kakitangan setia dan telah berkhidmat lama yang secara kolektif menyumbang kepada kejayaan bank tersebut dalam meletakkan dirinya sebagai institusi kewangan terbesar di Brunei.
Satu Majlis Anugerah Perkhidmatan diadakan di Tarindak D’Seni di ibu negara untuk memperingati dan menghormati pekerja yang telah lama berkhidmat, ada di antaranya telah berkhidmat sehingga 35 tahun di bank berkenaan.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman, dalam ucapannya semasa majlis tersebut berkata kepada kakitangan yang diraikan, “Komitmen anda untuk memberikan yang terbaik selama bertahun-tahun sudah tentunya menyumbang kepada kejayaan Kumpulan BIBD, memastikan bahawa kita berjaya mencapai misi kita menjadi bank pilihan pertama, dan sekarang, terus maju menjadi Bank Islam Terbaik di Asia-Pasifik.
“Saya sangat bangga dengan kegigihan dan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh keluarga BIBD.
“Terutamanya semasa wabak COVID-19, semua pekerja terus menunjukkan keberanian, dedikasi dan prihatin dengan semangat ‘Bruneian at Heart’, untuk berkhidmat di barisan hadapan dan memastikan bahawa kita terus melayani keperluan pelanggan,” tambahnya.
Turut hadir bagi meraikan kakitangan di majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, dalam kapasitinya sebagai pengerusi Kumpulan BIBD.
Yang Berhormat Dato juga menyampaikan penghargaan kepada pekerja yang telah mencapai perkhidmatan selama 30 dan 35 tahun.
Sementara itu, Pengarah Urusan, Pembangunan Strategi Dana Kapital, Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Junaidi bin Haji Masri, dan Pemangku Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Haji Sofian bin Mohammad Jani, yang hadir sebagai ahli Lembaga Pengarah Kumpulan BIBD, menyampaikan penghargaan kepada pekerja yang masing-masing telah menyumbang perkhidmatan selama 25, 20 dan 15 tahun.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIBD, Mubashar Khokhar menyampaikan anugerah kepada pekerja yang telah menyumbang perkhidmatan selama 10 tahun.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pihak pengurusan kanan dan pegawai-pegawai BIBD.