Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan BIBD
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Tiga pemenang bertuah hari ini masing-masing membawa pulang jongkong emas bernilai $1,000, $2,000 dan $3,000 sebagai sebahagian daripada Promosi Daftar & Menang Ar-Rahnu.
Pelanggan yang mendaftar untuk Pembiayaan Al-Jauhar antara 8 November hingga 8 Disember 2022 berpeluang memenangi jongkong emas.
Pembiayaan Mikro Ar-Rahnu BIBD adalah satu skim yang menyediakan kemudahan pembiayaan bercagar jangka pendek menggunakan barangan emas sebagai cagaran, dan pelanggan mampu mendapat pembiayaan sehingga 80 peratus daripada nilai emas dengan bayaran bulanan antara 6 hingga 12 bulan.
Sementara itu, BIBD baru-baru ini menunjukkan sokongannya dalam acara Hujung Minggu Hari Kanser Sedunia yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dengan mengadakan Program Kesejahteraan BIBD.
Antara objektif acara itu adalah bagi bersama-sama dalam memerangi wabak kanser global dengan meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai tentang tanda-tanda, gejala, dan faktor risiko kanser di negara ini.
BIBD mendirikan gerai pameran dalam acara tersebut di mana Duta Kesejahteraan BIBD, yang terdiri daripada ahli Platun Korporat BIBD telah memberikan pemeriksaan kesihatan asas percuma kepada orang ramai.
Ini adalah bagi menyokong Kementerian Kesihatan dan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dalam meningkatkan kesedaran dan pemahaman yang lebih baik tentang kesihatan dan kesejahteraan sebagai serta kepentingan memelihara gaya hidup sihat untuk meningkatkan kualiti keseluruhan kehidupan.
Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri dan ahli-ahli pengurusan kanan BIBD yang lain.