BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) telah diiktiraf sebagai Bank Islam Mampan Terbaik pada Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2025 yang berlangsung semasa Global Islamic Finance Summit.
Anugerah tersebut disampaikan pada Majlis Anugerah GIFA yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim selaku tetamu kehormat.
Menerima anugerah bagi pihak BIBD ialah Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Junaidi bin Haji Masri, yang menyatakan bahawa pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan usaha kepimpinan dan warga kerja bank tersebut, malah turut melambangkan kepercayaan para pelanggan dan masyarakat umum.
Beliau menekankan bahawa kemampanan merupakan inti pati identiti BIBD sebagai institusi kewangan Islam, di mana kejayaan diukur melalui kesejahteraan jangka panjang rakyat, komuniti dan alam sekitar.
Sejak penubuhannya, GIFA telah muncul sebagai program anugerah kewangan Islam paling berprestij di dunia, mengiktiraf kecemerlangan dalam kalangan institusi, sarjana dan pemimpin yang mendorong kemajuan industri kewangan Islam global.

Dari tahun ke tahun, GIFA berkembang menjadi penanda aras kecemerlangan, menonjolkan mereka yang berjaya menggabungkan inovasi dengan pematuhan kepada prinsip Syariah.
Sebelum ini, BIBD pernah menerima pengiktirafan di GIFA dalam kategori seperti Bank Runcit Terbaik di Asia, Bank Membangun Terbaik dan Bank Runcit Islam Terbaik, sekali gus mengukuhkan perjalanannya sebagai institusi kewangan Islam terulung Brunei.
Anugerah Bank Islam Mampan Terbaik pada tahun ini mencerminkan usaha berterusan BIBD menyelaraskan kelestarian dengan nilai Islam serta keutamaan pembangunan negara.
Pada tahun 2023, BIBD menjadi bank pertama di Brunei yang memperkenalkan Rangka Kerja Kemampanan yang menyeluruh, berlandaskan prinsip Maqasid Syariah dan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu, Dasar Perubahan Iklim Negara, serta Wawasan Brunei 2035.
Rangka kerja tersebut dibina atas tiga tonggak utama iaitu Perlindungan Alam Sekitar, Keusahawanan Bertanggungjawab dan Impak Sosial Inklusif.
Inisiatif praktikal di bawah tonggak ini termasuk Projek Alam Mampan, Projek Tunas, Program SEED, serta Program ALAF.
Program-program ini bukan sahaja membuktikan komitmen BIBD terhadap penjagaan alam sekitar dan pemerkasaan sosial, tetapi juga mencerminkan misinya untuk kekal Bruneian at Heart dan menjadi rakan kongsi dalam kemajuan bagi negara.
Anugerah ini mengukuhkan keyakinan BIBD bahawa kemampanan bukanlah kewajipan luaran, sebaliknya sebahagian daripada DNA bank Islam tersebut, di mana perkhidmatan kewangan direka bentuk untuk menyokong kesejahteraan individu, komuniti dan alam sekitar bagi generasi akan datang.
Pencapaian tersebut tidak akan tercapai tanpa sokongan berterusan daripada lembaga pengarah, badan penasihat syariah, pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan.

