BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sekali lagi meraih pengiktirafan antarabangsa selepas dinobatkan sebagai Bank Terbaik untuk Penyelesaian Pengurusan Harta Islam di Brunei bagi tahun 2025 oleh Anugerah Dana Islam Cambridge (CIFA).
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut BIBD menerima anugerah berprestij tersebut, mengukuhkan kedudukannya dalam sektor kewangan Islam, khususnya dalam penyelesaian pengurusan harta.
Lebih 150 tetamu menghadiri majlis penganugerahan CIFA ke-2 yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi, di mana lebih 30 anugerah diberikan kepada pemenang global.
Mewakili BIBD pada majlis tersebut sekali gus menerima anugerah ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.
CIFA, yang terkenal dengan proses penilaiannya yang ketat dan telus, mengiktiraf dan memberikan penghormatan kepada penyelesaian pengurusan harta utama di seluruh dunia.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P8-1ACIFA-1_15022025.jpg)
Penilaian itu mengambil kira faktor utama seperti pematuhan terhadap prinsip Syariah, konsistensi dan kebolehpercayaan prestasi dana, serta tahap inovasi dalam pengurusan aset Islam.
Selain itu, penilaian juga mengambil kira pendekatan institusi dalam pengurusan risiko, perlindungan modal pelabur, serta komitmen terhadap amalan pelaburan etika dan standard tadbir urus yang beretika.
Sebagai peneraju perkhidmatan kewangan Islam di Brunei, BIBD menawarkan rangkaian produk pengurusan kekayaan patuh Syariah melalui anak syarikatnya, BIBD Securities.
Pendekatan yang inovatif dan dipercayai itu bukan sahaja memenuhi keperluan kewangan pelanggan tetapi juga menyumbang kepada kemampanan ekosistem kewangan yang lebih luas.
Keputusan untuk memberi penghormatan kepada BIBD dibuat selepas perbincangan yang panjang oleh Jawatankuasa Anugerah, yang mempertimbangkan pelbagai institusi kewangan di Brunei sebelum memilih BIBD berdasarkan pematuhannya kepada metodologi CIFA.
Anugerah yang diterima untuk tahun kedua berturut-turut itu mengukuhkan lagi kedudukan BIBD sebagai peneraju kewangan Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.
BIBD akan terus komited untuk mengekalkan standard tertinggi dalam pematuhan Syariah sambil terus berinovasi untuk menawarkan penyelesaian kewangan yang memenuhi keperluan pelbagai pelanggan mereka.