Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) telah mengadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), hari ini, bersama Royal Brunei Airlines Sdn. Bhd., dan Arrowtech Sports bagi menjalin kerjasama untuk acara Brunei Half Marathon 2025 merentasi Jambatan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien yang dijadualkan berlangsung pada 30 November.
Di bawah MoU berkenaan, BIBD akan berperanan sebagai rakan perbankan rasmi bagi acara berkenaan dengan memberikan sokongan kepada jawatankuasa penganjur serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam merealisasikan acara sukan bertaraf kebangsaan itu.
Menandatangani bagi pihak BIBD ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Junaidi bin Haji Masri, disaksikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan 3 merangkap Ketua Perbankan Runcit, Awang Junaidi bin Bahrum.
Bagi pihak Royal Brunei Airlines, MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi, Haji Badaruddin bin Haji Bagol dan disaksikan oleh Pengurus Komunikasi Korporat, Dayang Azhani Daniel.
Sementara itu, bagi pihak Arrowtech Sports, tandatangan dibuat oleh Pengurus Besar, Huu Yih Lim, disaksikan oleh Ketua Pemasaran, Pauline Lian.

Dalam kenyataannya, Awang Junaidi bin Bahrum menegaskan bahawa BIBD mengiktiraf usaha berterusan kerajaan dalam mempromosikan kesejahteraan dan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Brunei serta kekal komited menyokong inisiatif yang menggalakkan tabiat positif dan kesejahteraan komuniti.
“Sebagai rakan perbankan rasmi, BIBD berasa amat berbesar hati dapat memainkan peranan dalam menyokong aspirasi bersama ke arah kesihatan, perpaduan dan kemajuan negara, sejajar dengan identiti kami sebagai bank yang Bruneian at Heart,” jelas beliau.
Penyertaan BIBD dalam kerjasama berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen bank berkenaan dalam memupuk gaya hidup sihat dan aktif, di samping menyokong inisiatif nasional yang menyatupadukan masyarakat serta mempromosikan Brunei Darussalam sebagai destinasi yang dinamik dan menarik.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, BIBD menawarkan rebat sebanyak 20 peratus kepada para peserta yang membuat bayaran yuran pendaftaran menggunakan mana-mana kad BIBD iaitu kad Debit atau kad Kredit BIBD.
Bank tersebut juga akan menyediakan kemudahan pembayaran digital serta aktiviti jangkauan yang direka untuk menjadikan penyertaan lebih mudah diakses dan inklusif.
Acara Brunei Half Marathon 2025 dijangka menarik penyertaan pelari-pelari dari dalam dan luar negara dalam satu ujian ketahanan yang akan diadakan di salah satu mercu tanda ikonik negara.
Ia sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kalendar sukan dan pelancongan komuniti di Brunei Darussalam.

