Friday, October 18, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD Ramadan Eco-Bazaar perkasa perniagaan tempatan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Dalam mengorak langkah signifikan ke arah memupuk sebuah ekonomi digital dan mampan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) melancarkan BIBD Ramadan Eco-Bazaar yang terletak di BIBD Connects Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir untuk sama-sama menyempurnakan pelancaran bazar berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Ekonomi dan Kewangan Kedua dan Pengerusi BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    BIBD Ramadan Eco-Bazaar yang berlangsung hingga 17 April itu merupakan yang pertama seumpamanya dengan disokong oleh rakan-rakan kongsi strategik, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Majlis Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) di bawah Kementerian Pembangunan serta pertubuhan bukan kerajaan tempatan iaitu Zero Waste Brunei dan perusahaan hijau kecil, BioField.

    Bazar itu bermatlamat untuk menjana sebuah platform bagi memperkasakan perniagaan tempatan dalam mengetengahkan serta mengembangkan jenama mereka.

    Dengan menyediakan laluan itu, BIBD memupuk sebuah persekitaran di mana komuniti boleh mengambil bahagian secara aktif dan menyokong usahawan-usahawan tempatan bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara serta mempromosikan amalan-amalan perniagaan mampan.

    Selaras dengan Wawasan Brunei ke arah masa depan yang mampan, bazar berkenaan menekankan pentingnya untuk mengurangkan impak alam sekitar. Oleh itu, para vendor dan pengunjung boleh menggunakan BIBD QuickPay bagi membuat transaksi untuk mempromosikan sebuah pasaran tanpa tunai.

    Pada masa yang sama, inisiatif berkenaan menyokong Inisiatif Tanpa Beg Plastik JASTRe dan Zero Waste Brunei di bawah mandat Sekretariat Perubahan Iklim Brunei dengan menggalakkan para peserta untuk membawa barangan guna semula masing-masing seperti tumbler, tupperware dan beg membeli-belah.

    Dalam temu bual ringkas bersama beberapa vendor semasa bazar berkenaan, mereka menyokong inisiatif tanpa tunai dan amalan mampan itu. Mereka menyatakan bahawa usaha itu akan membantu untuk melahirkan masyarakat yang peka akan gaya hidup mampan serta memantapkan usaha ke arah mencapai ekonomi tanpa tunai.

    Bazar itu meraikan komitmen BIBD kepada kemampanan dan inovasi digital. Ia juga merupakan bukti dedikasi BIBD kepada menerajui penjagaan alam sekitar dan memajukan ekonomi digital.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyempurnakan pelancaran bazar berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin melawat ke salah satu petak jualan yang disediakan semasa program berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara produk makanan dan minuman yang diketengahkan oleh para peserta yang boleh didapatkan di ruang niaga tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda