Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – BIBD menandakan majlis penyampaian hadiah suku tahun pertamanya bagi kempen BIBD Aspirasi 7 dengan edisi khas Hari Raya yang mengetengahkan semangat perayaan untuk acara berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, menyatakan selaras dengan musim memberi dan sambutan, sebuah pasukan dari BIBD yang diketuai oleh Ketua Perbankan Runcit, Awang Junaidi bin Bahrum, berkunjung ke rumah-rumah pemenang terpilih yang menetap di Daerah Brunei dan Muara untuk menyampaikan sendiri hadiah kepada para pemenang.
Kunjungan ke rumah berkenaan telah dibuat bagi pemenang-pemenang hadiah suku tahun di mana setiap seorang menerima $10,000 serta pemenang hadiah bulanan membawa pulang $1,000 setiap seorang.
Usaha itu menambahkan lagi sentuhan peribadi dan perayaan bagi acara berkenaan sambil meraikan komitmen para pemenang untuk menyimpan menerusi BIBD Aspirasi.
Dalam kitaran ketujuhnya, kempen BIBD Aspirasi terus mempromosikan kepentingan dan disiplin menyimpan dalam kalangan warga Brunei. Direka sebagai sebuah program menyimpan dengan kelainan, BIBD Aspirasi memberikan ganjaran kepada penyimpan dengan memberikan mereka peluang untuk memenangi hadiah wang tunai, yang akan menyokong lanjut aspirasi serta matlamat kewangan mereka.
Bagi kempen tahun ini, BIBD telah menghapuskan yuran pendaftaran $5 bagi peserta baharu, menjadikannya lebih mudah dan boleh diakses untuk semua orang bagi memulakan perjalanan menyimpan mereka.
Usaha itu mencerminkan komitmen BIBD kepada keterangkuman kewangan, membantu lebih ramai individu untuk mengawal kewangan mereka dan merancang untuk masa hadapan.
Seperti edisi-edisi sebelumnya, peserta Aspirasi sedia ada dimasukkan ke dalam kempen baharu secara automatik, memastikan kelayakan berterusan bagi ganjaran sambil menggalakkan tabiat menyimpan jangka panjang.
Struktur berasaskan ganjaran unik Aspirasi membolehkan peserta terpilih untuk membawa pulang hadiah wang tunai sepanjang tahun dengan hadiah-hadiah berkenaan menjadi sebagai rangsangan ke arah mencapai aspirasi peribadi dan kewangan mereka.
Dengan memberikan insentif kepada penyimpanan menerusi kaedah yang menarik dan inklusif, BIBD Aspirasi adalah selaras dengan usaha kebangsaan untuk memupuk literasi kewanan dan mempromosikan kesejahteraan kewangan dalam kalangan warga Brunei.
Program itu terus menyokong matlamat meluas negara di bawah Wawasan Brunei 2035 dan BDCB Financial Sector Blueprint, sambil mengesahkan peranan BIBD sebagai rakan kongsi dalam kemajuan untuk negara.