Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, memahami keadaan pasaran sukuk masa kini dan manfaat yang terkandung dalamnya menjadi sangat penting.
Pada tahun 2023, pasaran sukuk menunjukkan prestasi yang baik, dengan jumlah pulangan keseluruhan melebihi 2.5 peratus dan hasil dividen sebanyak kira-kira 5 peratus setiap tahun.
Pemangku Pengarah Urusan BIBD Securities, Jason Wong, menekankan perkara itu dalam kata alu-aluannya pada majlis pembentangan prospek pasaran sukuk bertajuk The Sukuk Market: Finding Opportunities in Uncertain Times yang berlangsung di Garden’s Veranda, Rimba Garden Central, hari ini.
Majlis tersebut dihadiri oleh pelanggan dan klien BIBD Securities dan memberikan mereka maklumat tentang keadaan pasaran Sukuk saat ini, serta menawarkan peluang kepada klien-klien yang berminat untuk melabur dalam sektor berkenaan.
Turut hadir pada majlis adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.
Pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Pelaburan bagi Sukuk Global dan MENA Fixed Income, Franklin Templeton, Mohieddine Kronfol memberikan penerangan yang komprehensif mengenai prospek pasaran Sukuk dengan mengetengahkan trend terkini, peluang serta risiko berkaitan dengan pelaburan dalam pasaran sukuk global.
Selain itu, majlis juga mengetengahkan komitmen BIBD Securities dalam memberikan pendidikan kepada para pelabur serta menjadikan mereka sebagai rakan kongsi sepanjang hayat dalam mencapai matlamat kewangan mereka.
Melalui majlis sedemikian, BIBD Securities berharap untuk melengkapkan klien-kliennya dengan pengetahuan dan peralatan yang diperlukan untuk membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat.
BIBD Securities telah ditubuhkan pada 1993 dan menyediakan penyelesaian pelaburan kepada klien institusi dan runcit.
BIBD Asset Management, yang beroperasi di bawah lesen BIBD Securities, menjadi institusi kewangan pertama untuk menjadi penandatangan kepada United Nations Principles of Responsible Investing (UNPRI) yang membuktikan tumpuan syarikat berkenaan kepada pelaburan bertanggungjawab dan mampan yang mencerminkan komitmen kumpulan BIBD kepada penjanaan nilai jangka panjang bagi pelanggan-pelanggannya serta komuniti.













