Ole Sim Y.H. –
Dengan matlamat untuk menghubungkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan masyarakat, pelbagai produk tempatan daripada Program Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) SEED yang merupakan sebuah program khas untuk memperkasa ibu yang kurang berkemampuan serta Projek Tunas yang merupakan kerjasama antara BIBD dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk membantu PMKS termasuk Satu Kampung Satu Produk (1K1P), diketengahkan pada BIBD Connects Temburong yang baru dirasmikan di Labu Square, Temburong.
Dalam temu bual bersama Media Permata selepas perasmian BIBD Connects Temburong, baru-baru ini, Dayang Runa binti Bagol daripada Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rataie, Temburong menyatakan perasaan amat teruja kerana BIBD Connects Temburong menawarkan ruang bagi mengetengahkan produk-produk keluaran 1K1P yang dihasilkan oleh beberapa buah MPK di Daerah Temburong.
Beliau menambah usaha itu memberikan peluang bagi mereka untuk mempromosikan produk secara langsung serta membantu menjana pendapatan bagi penduduk-penduduk kampung kerana biasanya mereka akan menghantar produk ke kedai serta pesanan peribadi.
Selain daripada produk yang dihasilkan oleh MPK Rataie, terdapat juga produk-produk yang dihasilkan oleh MPK Batu Apoi, Bokok dan Lepong Baru turut diketengahkan kepada para pengunjung pada ruang berkenaan.
Beliau bagi mewakili gabungan MPK berkenaan, menyatakan penghargaan kepada BIBD atas peluang yang diberikan untuk mengetengahkan produk mereka di BIBD Connects Temburong.





Sementara itu, peserta di bawah Program BIBD SEED, Dayang Farah Fauziana binti Abdullatip, seorang ibu tunggal kepada empat anak mengongsi pengalamannya menyertai program berkenaan di mana ia banyak membantunya untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan dalam pemasaran, perakaunan dan penjenamaan produk keluarannya yang berjenama, Anak Mami.
Menerangkan mengenai pemilihan nama jenamanya, Dayang Farah Fuaziana berkata produk yang dihasilkan merupakan roti yang berasaskan resipi asal daripada ibunya yang telah diperkemas olehnya dan sebagai menghargai ibunya, beliau telah memilih jenamanya Anak Mami.
Selain daripada produk roti, kini beliau juga mula memperkenalkan beberapa produk baharu termasuk sambal dan kopi.
Program BIBD SEED, tambahnya telah banyak membantunya untuk meningkatkan keupayaan dirinya menerusi latihan yang diberikan dan berkongsi impian untuk memiliki kedai rotinya yang tersendiri di Daerah Temburong.
Beliau berkata tidak terdapat banyak kedai roti di daerah berkenaan dan berharap untuk menyumbang kepada pembangunan Daerah Temburong.
Beliau juga menyatakan penghargaan kepada BIBD bagi melaksanakan program SEED serta memberikan peluang kepadanya untuk mengetengahkan produknya di BIBD Connects Temburong.
Selain daripada inisiatif dan program bagi membantu PMKS tempatan, BIBD juga memberikan sokongan kepada Aftercare Support Association (AFSA) dengan memberikan peluang kepada mereka khususnya peserta program, Rakan Seliaan (RS) untuk menghasilkan cenderamata bagi acara perasmian berkenaan.
Yang Dipertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya dalam temu bual ringkas bersama Media Permata berkata AFSA yang baru ditubuhkan pada Ogos 2020 memainkan peranan membantu bekas banduan melalui pihak berkepentingan dan rakan kongsi strategik untuk diintegrasikan semula ke dalam masyarakat serta meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menerima bekas banduan kembali ke pangkuan masyarakat dan mengurangkan stigma terhadap mereka.
Di samping itu, beliau berkata AFSA turut melaksanakan program dan projek untuk membantu RS bagi mengukuhkan nilai-nilai positif serta menyumbang kepada ekonomi dan keharmonian sosial.
Hajah Juhana menerangkan bahawa BIBD menyediakan sokongan dan tajaan menerusi program baking di mana produk yang dihasilkan menerusi program berkenaan dijadikan sebagai cenderahati bagi acara perasmian itu.
Beliau menyatakan penghargaan kepada BIBD atas sokongan berterusan mereka untuk membantu RS dan memberikan peluang bagi mengetengahkan hasil usaha mereka pada majlis itu.

