Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), kelmarin, telah menyerahkan Zakat Perniagaan BIBD bagi Tahun Kewangan 2022 dan baki Zakat Perniagaan 2021 berjumlah $1,683,443.61 kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada majlis yang berlangsung di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.
Zakat berkenaan diserahkan oleh Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku Pengerusi Badan Penasihat Syariah (BPS) BIBD.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Zakat Wang Simpanan Pelanggan BIBD berjumlah $744,726.64 hasil kutipan dari 25 April 2022 hingga 24 November 2023 yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.
Kesemua zakat tersebut diterima oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua MUIB.
Hasil kutipan zakat akan diagih-agihkan kepada asnaf zakat yang berhak di negara ini yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin, mualaf, amil, Al-Gharimin dan Ibnu Sabil melalui skim-skim agihan seperti Skim Agihan Bulanan, Skim Agihan Asasi, Skim Agihan Persekolahan, Skim Agihan Institut Pengajian Tinggi, Skim Agihan Sewa Rumah, Skim Agihan Perubatan, Skim Agihan Modal Berusaha, dan Skim Agihan Pengupayaan Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ).
Sepanjang tahun 1444-1445H/2023, sejumlah $17,866,895.90 telah berjaya dikutip bagi zakat harta termasuk zakat perniagaan dan wang simpanan.
MUIB merupakan sebuah pertubuhan tertinggi di negara ini yang mempunyai bidang kuasa dalam pengurusan dan pengendalian kutipan dan agihan wang zakat, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77, Pindaan 1984.
Hadir menyaksikan penyerahan wang zakat berkenaan ialah Timbalan MUIB, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Haji Hamzah bin Haji Sabtu; Pemangku Pengarah, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh; dan para pegawai dari Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal dan BIBD.