Thursday, December 5, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD sertai keahlian UNGC utamakan kemampanan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mengumumkan bahawa bank tersebut telah menjadi ahli kepada Inisiatif United Nations Global Compact (UNGC) iaitu sebuah inisiatif sukarela bagi pembangunan, pelaksanaan dan pendedahan amalan perniagaan bertanggungjawab.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, menyatakan bahawa dengan keahlian berkenaan, BIBD menerajui sektor kewangan Brunei dan sektor swasta tempatan dalam menetapkan standard bagi kemampanan iaitu satu pembeza utama dalam industri perbankan dan dalam sektor swasta.

    Dengan menyertai UNGC, BIBD menyelaraskan dirinya dengan lebih 20 ribu syarikat lain secara global yang komited untuk mengambil tindakan perniagaan bertanggungjawab bagi menjana sebuah dunia yang lebih baik.

    UNGC menyeru syarikat-syarikat untuk mengintegrasikan Sepuluh Prinsip Universal (Ten Universal Principles) yang berkaitan dengan hak manusia, buruh, alam sekitar dan anti-rasuah ke dalam strategi-strategi mereka dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

    Hadir untuk menyampaikan keahlian BIBD ialah Pengarah Eksekutif, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Encik Faroze Nadar. Turut hadir ialah Ketua Hubungan Ahli, UNGCMYB, Tan Zhi Ying.

    Manakala hadir untuk menerima keahlian bagi pihak BIBD ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    Juga hadir untuk menyaksikan pencapaian itu ialah Ketua Pejabat Perubahan Iklim Brunei, Awang Ahmad Zaiemaddin Pehin Halbi serta pengurusan kanan BIBD.

    Keahlian BIBD dalam inisiatif itu mengukuhkan lagi usaha kemampanannya yang berterusan, berpegang kepada Peta Jalan dan Rangka Kerja Kemampanan yang dilancarkan pada 2021. Peta jalan komprehensif berkenaan menggariskan visi jangka panjang BIBD kepada memupuk pertumbuhan ekonomi di Brunei sambil mempromosikan tanggungjawab sosial dan alam sekitar.

    Sebahagian daripada komitmen itu, BIBD telah menjanjikan $2 bilion dalam pembiayaan menjelang 2030 untuk menyokong projek-projek berkaitan kemampanan.

    Awang Junaidi ketika mengulas mengenai pencapaian signifikan berkenaan, menyatakan dengan menyertai UN Global Compact, BIBD akan mendapat akses kepada pelbagai peluang pembelajaran dan sumber yang membantu menyokong matlamat-matlamat UNSDG 2030 dan Net Zero 2050 Brunei dengan lebih baik.

    Pencapaian penting itu, tambahnya, memperkukuhkan lagi dedikasi mereka dalam memacu perubahan positif bukan sahaja untuk institusi mereka tetapi juga untuk komuniti meluas Brunei.

    Beliau menyatakan bahawa BIBD akan terus membawa agenda berkenaan kepada khalayak ramai memastikan pendekatan inklusif berterusan, tanpa meninggalkan sesiapa di belakang.

    Agenda kemampanan BIBD adalah selaras dengan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam dan menyokong komitmen negara ke arah UN SDGs, menjadikan bank berkenaan sebuah pemain utama dalam usaha kemampanan global dan tempatan. Menerusi inisiatif-inisiatif strategik bank berkenaan, BIBD berhasrat untuk menyumbang secara signifikan kepada peralihan Brunei ke arah ekonomi rendah karbon sambil juga menangani cabaran-cabaran alam sekitar global.

    CEO BIBD, Awang Junaidi menerima keahlian berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda