Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Taktik penipuan baharu yang melibatkan panggilan mencurigakan dengan menyasarkan pelanggan-pelanggan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah dikesan dan BIBD menggesa pelanggan-pelanggan dan juga orang ramai untuk berwaspada dan berhati-hati apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
Menurut kenyataan BIBD, penipu menyamar sebagai wakil BIBD dan menggesa pelanggan untuk meluluskan transaksi dan memberikan maklumat peribadi menerusi panggilan yang dibuat. Panggilan sering diikuti dengan sambungan kepada ‘ejen’ dan ‘pusat khidmat’ palsu, di mana mangsa akan dieksploitasi lebih lanjut.
BIBD dengan tegas menasihati pelanggan untuk tidak mendedahkan maklumat sensitif seperti butiran akaun, kata laluan, atau OTP melalui telefon atau apa-apa saluran yang tidak diminta. Bank tidak akan meminta maklumat seperti itu melalui saluran-saluran ini.
Untuk mengesahkan kesahihan sebarang panggilan atau mesej yang mendakwa berasal dari BIBD, pelanggan digalakkan untuk menghubungi bank secara langsung melalui BIBD NEXGEN Mobile Chat atau Pusat Khidmat Pelanggan di talian 2238181.
Sekiranya berlaku penipuan, mangsa haruslah segera melaporkannya ke balai polis disusuli aduan rasmi yang dibuat di mana-mana cawangan BIBD.
BIBD kekal komited untuk melindungi masyarakat dan menggesa orang ramai untuk terus berwaspada terhadap penipuan. Bank terus meningkatkan kesedaran melalui pelbagai saluran untuk membantu orang ramai mengenal pasti dan mengelakkan menjadi mangsa penipuan.