Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD sokong inisiatif penjagaan, kemampanan alam sekitar

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengambil bahagian dalam majlis penanaman pokok yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sambutan Ulang Tahun Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) ke-60 yang berlangsung di Kampus ISB, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, bank berkenaan merupakan salah satu penaja utama sambutan sepanjang tahun ISB, yang termasuk siri acara yang bermatlamat untuk mempromosikan kesedaran alam sekitar, pendidikan dan kewarganegaraan global.

    Dalam hubungan itu, BIBD berbesar hati dapat bekerjasama dengan ISB dalam meraikan ulang tahun ke-60 serta gembira dapat menyokong inisiatif penanaman pokok berkenaan, yang bukan sahaja mempromosikan penjagaan alam sekitar malah menggariskan komitmen bank berkenaan kepada matlamat pembangunan mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB) dan kemampanan alam sekitar di bawah Rangka Kerja Kemampanan BIBD.

    Majlis penanaman pokok, 60 Trees to Celebrate 60 Years itu menyaksikan penanaman 60 pohon pokok bagi melambangkan sambutan enam dekad kecemerlangan dalam pendidikan bagi ISB.

    Majlis itu dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman dengan BIBD diwakili oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    Acara menanam pokok itu merupakan satu daripada beberapa inisiatif yang diatur oleh ISB bagi sambutan sepanjang tahunnya yang disokong oleh BIBD.

    Acara-acara lain yang diaturkan ialah Walkaton ISB yang dijadualkan pada September diikuti dengan Malam Gala ke-60 pada 11 Oktober serta Persidangan Isu-isu Global Borneo ISB (ISB BGIC) ke-20 yang menumpukan kepada SDG4 (pendidikan berkualiti) yang akan diadakan pada 25 hingga 28 Oktober.

    Sokongan BIBD bagi sambutan ulang tahun itu mencerminkan dedikasi bank berkenaan kepada memperkasakan generasi masa depan dan menyumbang kepada Brunei yang lebih mampan.

    Awang Aliuddin bergambar ramai dengan warga ISB dan pengurusan kanan BIBD. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda