Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) memperkukuh komitmennya dalam meneruskan agenda kelestarian di Brunei melalui sokongannya terhadap Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban (SAPPHAT) ke-6 2023.
Seminar yang bermula hari ini hingga 7 Jun itu dianjurkan setiap tahun oleh Universiti
Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan membawa tema ‘Meningkatkan Kelestarian Halal melalui Maqasid Syariah’.
Sebagai penaja utama, BIBD percaya bahawa menyokong seminar itu memenuhi penjajaran strategik kumpulan di bawah Rangka Kerja Kemampanan di mana sebahagian daripada komitmennya adalah dalam mempromosikan pembangunan mampan industri halal yang sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Pembukaan seminar yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah dirasmikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Seminar berkenaan dijangka memainkan peranan dalam mewujudkan kedudukan Brunei sebagai salah satu pemain terkemuka dalam industri halal dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negara ini.
Ia bertujuan untuk menyediakan platform kepada sarjana, pengamal, dan penggubal dasar untuk berbincang dan bertukar idea mengenai pembangunan industri halal.
Di samping itu, seminar juga bertujuan untuk mempromosikan Negara Brunei Darus-
salam sebagai hab untuk produk dan perkhidmatan halal.
Semasa seminar itu, BIBD akan mempamerkan BIBD SME360, di mana pelawat boleh mengetahui lebih lanjut mengenai platform berkenaan, penyelesaian perbankan yang melengkapkan keperluan perniagaan terutamanya PKS, yang merangkumi pasukan pengurusan perhubungan yang berdedikasi, penyelesaian kewangan dan
pembayaran digital.
BIBD juga akan mempamerkan inisiatifnya yang dikenali sebagai ‘Projek Tunas’, iaitu penyediaan pasaran fizikal, kerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan merupakan sebahagian daripada usaha bank ke arah membantu kerajaan mencapai
Matlamat No.2 (Kualiti Kehidupan) dan Matlamat No.3 (Ekonomi Dinamik dan Mampan) Wawasan Brunei 2035.
SAPPHAT ke-6 diadakan sebagai sebahagian daripada Minggu Islam Persidangan
dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE).