Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD sokong usaha biodiversiti marin

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) tidak ketinggalan menunjukkan sokongannya dalam Minggu Lautan Brunei (OWB) sempena Hari Lautan Sedunia.
     
    OWB yang bermula pada 31 Mei lalu telah menghimpunkan perniagaan-perniagaan, agensi kerajaan, organisasi dan sekolah untuk menangani cabaran dan penyelesaian pemuliharaan marin.
     
    Sebagai salah satu penaja utama OWB, BIBD secara aktif telah menyokong dan mengambil bahagian dalam pelbagai acara tersebut iaitu menempatkan 20 bebola karang dan kempen kebersihan di Pantai Meragang dengan melibatkan seramai 70 kakitangan bank.
     
    Menurut BIBD, penglibatan dalam kempen kebersihan itu menunjukkan dedikasi mereka terhadap tanggungjawab korporat dan penglibatan komuniti, dengan menggalakkan kesedaran alam sekitar secara aktif dan menggalakkan amalan mampan dalam kalangan pekerjanya dan komuniti yang lebih luas.
     
    Sementara itu, pengedaran 20 bebola karang antara lain bertujuan untuk menyokong amalan penangkapan ikan yang mampan dan mewujudkan zon penangkapan ikan baharu bagi komuniti nelayan tempatan, sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi dalam industri perikanan tempatan.
     
    ATAS & BAWAH: BIBD membuktikan komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar dengan menyokong Minggu Lautan Brunei yang telah bermula 31 Mei lalu. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    GAMBAR SERAHAN BIBD
    Pelaburan BIBD dalam projek bebola karang juga bertujuan untuk menyokong projek Tembok Terumbu Brunei.
     
    Projek berkenaan memupuk kepakaran tempatan dengan menyediakan latihan dalam penciptaan bebola karang kepada para belia dan nelayan, sekali gus memperkasakan kemahiran yang berharga serta memperkukuh industri perikanan tempatan.
     
    Inisiatif penting berkenaan juga menggariskan dedikasi BIBD untuk meningkatkan biodiversiti marin dan menyokong komuniti setempat.
     
    Di samping itu, pemasangan bebola karang berkenaan dijangka menjana impak sosioekonomi yang positif dengan mempromosikan aktiviti biodiversiti karang dan marin yang penting untuk kesihatan lautan dan mata pencarian masyarakat.
     
    Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dipetik berkata, BIBD berbangga untuk menyokong OWB dan menyumbang kepada Hari Lautan Sedunia yang diraikan setiap 8 Jun.
     
    “Usaha kami dalam pemuliharaan marin dan penglibatan komuniti mencerminkan nilai teras dan dedikasi kami untuk mencipta masa depan yang mampan bagi Brunei, dan kami juga percaya bahawa dengan bekerjasama, kami boleh memberi impak yang besar kepada kesihatan lautan dan kesejahteraan masyarakat kita,” jelasnya.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda