Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) terus menunjukkan komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar dengan menaja penanaman 50 pohon pokok sebagai sebahagian daripada sokongan BIBD kepada Minggu Alam Sekitar, Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2023.
Sehubungan itu, aktiviti penanaman pokok yang disertai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri bersama-sama pengurusan serta kakitangan BIBD telah berlangsung di Taman Rekreasi Pantai Muara, hari ini.
Acara itu mempamerkan dedikasi BIBD untuk memupuk alam sekitar mampan dan memulihara keindahan landskap semula jadi Brunei. Aktiviti yang dianjurkan bersempena dengan ulang tahun Hari Alam Sekitar Sedunia ke-50, Minggu Alam Sekitar: Road Towards a Sustainable Environment #BeTheSolution.
Penglibatan BIBD dalam aktiviti penanaman pokok berkenaan adalah selaras dengan komitmen menyeluruhnya kepada Kerangka Kemampanan BIBD. Di bawah tonggak strategik Perlindungan Alam Sekitar, BIBD juga berusaha menyokong matlamat sifar bersih menjelang 2050, Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam serta komitmen global seperti Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu khususnya SDG 13 (Tindakan Iklim), SDG 15 (Kehidupan di Darat), SDG 3 (Kesejahteraan dan Kesihatan Baik) serta SDG 17 (Rakan kongsi bagi Matlamat).
Pada 2022, BIBD telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama seperti Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) serta juga beberapa NGO dan rakan-rakan kongsi korporat bagi inisiatif penanaman pokoknya di bawah Kempen Negara Mampan.
Menerusi inisiatif seumpama itu, BIBD berusaha untuk memberikan inspirasi dan menggerakkan pihak lain untuk merangkul kelestarian dan mengambil tindakan kolektif ke arah membangunkan sebuah masa depan yang lebih hijau dan makmur.