Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Dalam memeriahkan lagi Pameran Hari Belia Kebangsaan 2023, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) juga tidak ketinggalan mempamerkan pemenang Anugerah Pemimpin Belia Kelestarian pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) di Pusat Persidangan Antara-bangsa, Berakas, hari ini.
Pemenang anugerah berpeluang menyembahkan projek mereka kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa keberangkatan Baginda ke ruangan pameran pada majlis itu.
Empat kumpulan yang ditampilkan adalah Kluster Pendidikan dengan Projek Hayaa’, Kluster Alam Sekitar dengan projek IKLIM Chapters, Kluster Kesihatan dengan Projek Pink Box dan Kluster Pekerjaan mempamerkan projek Upskilling Tutong.
Inisiatif anugerah itu dilaksanakan dengan kerjasama Unit SDG Pejabat Sekretariat Wawasan Brunei dan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei di bawah Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Green Brunei, mewakili Majlis Belia Brunei.
Anugerah berkenaan selaras dengan Rangka Kerja Kelestarian dan Pelan Hala Tuju BIBD dan mengambil pendekatan tindakan seluruh negara selain memupuk kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan daripada sektor awam dan swasta untuk mengenal pasti dan mengiktiraf kepentingan belia dalam proses pembangunan negara.
Selain itu, anugerah berkenaan menjadi bukti komitmen BIBD untuk memupuk generasi pemimpin yang akan membentuk masyarakat yang lebih mampan dan berdaya tahan.
BIBD berbangga dengan pencapaian pemimpin muda ini dan komitmen mereka untuk membina masa depan yang mampan dan sejahtera.