Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bergerak semakin hampir ke arah mencapai matlamat Projek Alam Mampan dengan penanaman 30 anak pokok di Taman Jubli Emas Maulana di Kuala Belait, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, acara penanaman pokok itu menggariskan komitmen berterusan BIBD kepada inisiatif 660 Roots to a Greener Future, sebahagian daripada Projek Alam Mampan yang meluas.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad dengan disertai bersama oleh Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dan kakitangan bank berkenaan.
Inisiatif itu dirangka untuk menanam sebanyak 660 pokok di serata Negara Brunei Darussalam menjelang hujung 2024, selaras dengan Rangka Kerja Kemampanan BIBD dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu khususnya SDG 15, yang menumpu kepada perlindungan dan pemulihan ekosistem daratan.
Terdahulu, BIBD telah mengadakan acara besar penanaman pokok di Sungai Panyatang, Tutong di mana 300 pohon pokok ditaman sebagai sebahagian inisiatif, 660 Roots to a Greener Future.
Dengan jumlah keseluruhan sebanyak 630 pohon pokok ditanam setakat ini di bawah inisiatif berkenaan, yang merangkumi 40 pohon pokok di Taman Mahkota Jubli Emas, 260 pohon pokok di Hutan Simpan Berakas, 300 pohon pokok di Tutong dan 30 pohon pokok di Kuala Belait, projek itu berada di landasan untuk mencapai sasarannya iaitu 660 pohon pokok menjelang hujung 2024.
Pokok-pokok selebihnya akan ditanam di Daerah Temburong pada penghujung tahun ini. Di samping penanaman pokok, Projek Alam Mampan akan dikembangkan untuk merangkumi inisiatif pemuliharaan marin seperti Program Bola Terumbu Karang BIBD dan projek-projek pemulihan bakau bertujuan untuk meningkatkan habitat marin.
Sejak penubuhannya, Program Bola Terumbu Karang telah berjaya untuk menempatkan lebih 100 bola terumbu karang dan memudahkan penanaman lebih daripada 500 batu karang, menggariskan komitmen BIBD kepada pemeliharaan biodiversiti marin kaya Brunei.
BIBD menekankan bahawa inisiatif-inisiatif berkenaan adalah penting bagi memupuk sebuah persekitaran yang boleh didiami dan mampan bagi generasi masa depan.
Inisiatif 660 Roots to a Greener Futrure bukan sahaja menangani kebimbangan alam sekitar yang mendesak tetapi ia juga mengintegrasikan prinsip alam sekitar, sosial dan urustadbir (ESG) ke dalam operasi BIBD.
Menerusi usaha komprehensif berkenaan, BIBD mengesahkan lagi peranannya sebagai warga korporat bertanggungjawab kepada penjanaan masa depan yang lebih hijau dan mampan bagi Brunei, selaras dengan matlamat negara dan sasaran kemapanan global.