Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) tahun ini sekali lagi menyertai Pesta Pengguna bagi edisi ke-29 dengan menawarkan promosi dan mempamerkan inovasi dengan ganjaran yang menarik.
Acara lima hari itu berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, bermula hari ini di mana BIBD menjemput orang ramai dan pelanggannya untuk menerokai inovasi terkini dalam perbankan mudah alih yang terjamin dan mempelajari amalan terbaik dalam keselamatan siber.
Dengan mengunjungi petak BIBD, para pengunjung boleh mendapat maklumat lanjut untuk menimba ilmu tentang pelbagai topik keselamatan siber.
Menurut kenyataan, BIBD sangat menyokong pendekatan kolaboratif untuk keselamatan dalam talian, di samping menekankan perkongsian tanggungjawab antara bank dan pelanggannya dalam melindungi maklumat serta aset.
Semasa pameran itu, BIBD juga akan mempamerkan kaedah untuk mengurangkan risiko pelanggaran data, perisian hasad, serangan pancingan data dan ancaman siber lain.
Selain itu, petak BIBD turut menawarkan sumber pendidikan untuk membantu orang ramai mengenali ancaman siber, penipuan dan risiko, memperkasakan mereka supaya kekal selamat dalam talian.
Para pengunjung juga boleh mengetahui tentang ciri keselamatan lanjutan aplikasi BIBD NEXGEN dan menerima tutorial tentang fungsinya.
Di samping itu, sesi interaktif juga akan diadakan untuk menguji kemahiran dan pengetahuan keselamatan siber orang ramai selain boleh mendapatkan maklumat tentang sejauh mana perbankan selamat dengan BIBD NEXGEN dan bagaimana ia boleh meningkatkan kualiti hidup serta ketenangan fikiran mereka.
BIBD juga akan menggalakkan perubahan positif melalui langkah mudah yang boleh diambil untuk melindungi peranti peribadi dan meminimumkan kelemahan kepada serangan siber.
Orang ramai yang mendaftar, mengemas kini aplikasi BIBD NEXGEN dan lain-lain semasa pameran BIBD di pesta itu juga layak untuk memenangi hadiah yang menarik, termasuk iPhone 15 terkini, Samsung Flip dan iPad Air.
Petak BIBD juga akan menjadi kedai sehenti untuk tawaran dan promosi eksklusif yang hanya terdapat semasa Pesta Pengguna.