Oleh Nour Maghfirah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – BIBD hari ini telah memberikan respons menerusi siaran akhbarnya sebagai tindak balas kepada pengumuman sebelumnya pada 2 April lalu. Siaran itu bertujuan untuk memberi penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini.
Menurut kenyataan BIBD di sini, bagi pemegang akaun yang hanya menggunakan akaun buku simpanan tanpa akses kepada kemudahan perbankan dalam talian, pemindahan dalam talian adalah mustahil dilakukan tanpa kemudahan perbankan dalam talian.
BIBD juga menyatakan apabila pemegang akaun diberikan kad debit, mereka juga akan menerima PIN rahsia yang hanya diketahui oleh pemegang akaun itu sendiri. Kakitangan BIBD tidak mempunyai akses kepada butiran kod PIN tersebut.
Pendaftaran untuk BIBD NEXGEN online banking facility memerlukan pengesahan tambahan melalui One-Time-Password (OTP) yang dihantar sebagai SMS kepada pemegang akaun. Semasa log masuk, pemegang akaun perlu memasukkan butiran seperti nama, kata laluan, dan PIN rahsia yang hanya diketahui oleh pemegang akaun itu sendiri.
BIBD dalam kenyataannya juga menegaskan kepatuhan mereka terhadap peraturan kerahsiaan pelanggan yang ketat, yang melibatkan perlindungan maklumat pelanggan dari pendedahan yang tidak dibenarkan, termasuk langkah-langkah untuk mencegah tipping-off.
Di samping itu, BIBD menekankan bahawa penyebaran khabar angin yang tidak berasas boleh menyebabkan kebimbangan awam yang tidak wajar atau mengganggu stabiliti sistem kewangan. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
BIBD telah mempertahankan tadbir urus korporat yang ketat untuk menguruskan operasi harian mereka, dan mereka terus berkerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh.
Dalam kenyataan tersebut juga BIBD telah menyatakan kejayaan pihaknya dalam menangani kes penipuan telefon dengan penangkapan tujuh individu yang berkaitan dengan sindiket penipuan telefon pada 13 Jun 2023. Hal itu menunjukkan komitmen BIBD dan agensi penguatkuasa undang-undang untuk melindungi keselamatan dan integriti kewangan negara.
BIBD juga telah meneliti beberapa jenis penipuan yang dilaporkan, termasuk akses tanpa kebenaran dan pengambilalihan akaun, dan menasihati pelanggan untuk berhati-hati dan tidak mengongsikan butiran peribadi mereka.
Untuk meningkatkan keselamatan, BIBD telah meningkatkan ciri-ciri keselamatan platform mudah alih, termasuk penggunaan telefon sebagai faktor pengesahan kedua dan pemberitahuan dalam aplikasi untuk pemindahan dana.
Sehubungan itu, BIBD menegaskan pentingnya melindungi butiran akaun dan menasihati para pemegang akaun untuk tidak mengongsikan butiran akaun mereka.
BIBD turut mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang akaun atas kerjasama mereka, sambil mengulangi komitmen mereka untuk memastikan keselamatan dan integriti kewangan negara.
BIBD juga mengingatkan orang ramai tentang pentingnya melindungi butiran log masuk perbankan mereka dan tidak mengongsikan maklumat peribadi atau kewangan dengan sesiapa.
Dengan kerjasama erat antara BIBD dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang, bank itu menunjukkan dedikasi dalam melindungi keselamatan dan integriti ekosistem kewangan Brunei.
BIBD juga menggesa orang ramai untuk tidak mengulas mengenai siasatan yang sedang dijalankan atau membuat dakwaan, spekulasi, atau khabar angin yang tidak berasas, kerana tindakan ini boleh menjejaskan integriti siasatan yang sedang dijalankan.