Wednesday, December 4, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBD terima dua anugerah berprestij

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) baru-baru ini telah menerima dua anugerah berprestij pada Anugerah Perbankan Runcit Islam (IRBA) 2024, iaitu Anugerah Bank Runcit Islam Terbaik untuk Perbankan Perdana dan Bank Runcit Islam Paling Mampan di Brunei, yang diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

    Menurut kenyataan BIBD yang diterima hari ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri berkata, “Anugerah ini mencerminkan komitmen BIBD untuk menjadi sebuah institusi kewangan Islam terbaik, bukan hanya di Brunei tetapi juga di peringkat global.

    “Inisiatif BIBD dalam kelestarian dan perbankan perdana direka untuk memastikan BIBD bukan sahaja memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan, tetapi juga memberi sumbangan yang bermakna kepada agenda nasional yang lebih luas.

    Misi BIBD tetap berakar pada perkhidmatan kepada masyarakat yang lebih luas dan mencapai kemajuan serta pertumbuhan yang mampan.”

    Bagi pihak BIBD, Anugerah berkenaan diterima oleh Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Projek Khas, Haji Yusri bin Haji Wahsalfelah; Ketua Pegawai Pemasaran, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar; dan Timbalan Ketua Perbankan Runcit, Awang Junaidi bin Bahrum.

    Perwakilan BIBD semasa menerima anugerah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    GAMBAR SERAHAN BIBD

    Anugerah Bank Runcit Islam Paling Mampan memberi penghargaan kepada komitmen berterusan BIBD dalam memajukan agenda kelestarian dan memberikan perkhidmatan yang luar biasa kepada pelanggan.

    Dalam kenyataan, jawatankuasa anugerah memuji rangka kerja kelestarian BIBD yang kukuh, yang selaras dengan Maqasid Syariah dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Antara inisiatif yang menunjukkan kepimpinan BIBD dalam kelestarian termasuk Kad Perbankan Plastik Kitar Semula. Inisiatif terkemuka negara itu menggantikan semua kad perbankan kepada plastik kitar semula, justeru mengurangkan pembaziran dan mempromosikan amalan mesra alam.

    Inisiatif seterusnya adalah Projek Alam Mampan, di mana program berkenaan memberi impak kepada pemeliharaan alam sekitar melalui penanaman 660 pokok dan pemasangan 20 bebola karang di sepanjang pantai Brunei untuk mencipta takungan karbon semula jadi.

    Selain itu, inisiatif Kempen Pendidikan di mana Program Waste Not and Save More yang telah memberi kesedaran kepada lebih 1,500 pelajar di 15 sekolah, menekankan peranan BIBD dalam membentuk generasi celik kewangan dan prihatin alam sekitar serta inisiatif Kepimpinan Tenaga Boleh Diperbaharui, iaitu BIBD merupakan institusi kewangan pertama di Brunei yang memasang panel solar di ibu pejabatnya dengan pengurangan kos tenaga sebanyak 20 peratus dan memberi impak alam sekitar setara dengan penanaman 750 pokok.

    Melalui inisiatif itu, BIBD bukan sahaja menetapkan penanda aras dalam tanggungjawab alam sekitar dan sosial tetapi juga menunjukkan kebolehannya dalam menyelaraskan strategi dengan piawaian global sambil memberi perkhidmatan kepada komuniti tempatan.

    Sementara itu, Anugerah Bank Runcit Islam Terbaik untuk Perbankan Perdana menekankan komitmen BIBD dalam memberikan perkhidmatan cemerlang yang memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, melalui perkhidmatan yang eksklusif Perbankan Perdana Privilege.

    Melalui Perdana, individu yang layak boleh merasai pengalaman perbankan yang lebih tinggi melalui pengurus perhubungan di mana mereka boleh menguruskan akaun, merancang pulangan yang lebih besar untuk simpanan serta memahami pilihan kekayaan Islam yang tersedia bagi keperluan warisan masa depan dalam keselesaan ruang Perdana eksklusif.

    Manfaat lain yang disesuaikan dan diatur mengikut keperluan individu termasuk akses kepada peluang pengurusan kekayaan global, kadar deposit istimewa, kemudahan NAQD, keistimewaan World Mastercard dan gaya hidup eksklusif adalah antara perkhidmatan yang tersedia untuk semua pelanggan Perdana dan banyak lagi.

    Pengiktirafan itu mencerminkan bukan sahaja dedikasi BIBD dalam meningkatkan perjalanan pelanggan tetapi juga pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha-usahanya dalam menetapkan penanda aras baharu untuk penyampaian perkhidmatan.

    Dengan meneruskan usaha mempertingkat produk dan perkhidmatan, BIBD membuktikan kemampuannya untuk bersaing di peringkat global sementara tetap berpegang kepada janji untuk mengutamakan pelanggan dalam semua agendanya.

    Sebagai institusi kewangan Islam terkemuka di Brunei, BIBD kekal komited untuk menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara.

    Anugerah itu mencerminkan keselarasan BIBD dengan Wawasan Brunei 2035, yang bercita-cita untuk menjadikan negara ini terkenal dengan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran, kualiti hidup yang tinggi dan ekonomi yang dinamik serta mampan.

    Berdasarkan nilai terasnya dan komitmennya untuk menjadi Bruneian at Heart, BIBD akan terus menjadi rakan yang dipercayai dalam memupuk masa depan yang lebih mampan untuk negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda