BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini mengumumkan bahawa ia sekali lagi menerima penarafan A- Stabil daripada agensi penarafan kredit antarabangsa terkemuka, S&P Global.
Pengesahan ini dibuat ketika BIBD meraikan ulang tahunnya yang ke-30 pada 2023, menandakan dedikasi selama tiga dekad untuk menyediakan perkhidmatan kewangan Islam kepada pelanggannya sambil berkhidmat kepada masyarakat dan negara.
Sejak 2015, BIBD secara konsisten mengekalkan penarafan A- Stabil, yang menekankan komitmen bank terhadap permodalan yang teguh dan profil pembiayaan yang sihat.
Penilaian S&P Global mengakui bahawa faktor-faktor ini akan terus menyokong pertumbuhan dan daya tahan BIBD pada tahun-tahun akan datang.
Laporan S&P Global juga menyerlahkan kepentingan sistemik BIBD dalam sektor kewangan Brunei. Kestabilan asas deposit BIBD dan kedudukan kecairan yang kukuh memantapkan lagi peranannya sebagai sebuah institusi kewangan yang boleh dipercayai di negara ini.

Dedikasi BIBD terhadap faktor kredit alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) turut diperhatikan oleh S&P Global. Melalui Rangka Kerja Kelestarian BIBD dan komitmen untuk menegakkan prinsip Maqasid Syariah, bank itu berusaha untuk menegakkan amalan perbankan yang mampan dan pembiayaan yang bertanggungjawab, memastikan operasinya menyumbang secara positif kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri berkata, “Alhamdulillah, semasa kami meraikan ulang tahun ke-30 BIBD tahun ini, penarafan kami menjadi bukti tadbir urus korporat dan amalan pengurusan risiko kami yang teguh.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi kami terhadap kecemerlangan tetapi juga menekankan sejauh mana kami telah melangkah sejak penubuhan kami.
“Ia mendorong kami untuk terus maju, melayani pelanggan kami sambil sentiasa mengekalkan keseimbangan antara keperluan komuniti dan kewajipan untuk berkhidmat kepada negara secara keseluruhan.
“Semasa kami memulakan bab seterusnya dalam perjalanan, kami kekal teguh dalam misi untuk terus berkembang dan memberi kesan positif dalam kehidupan pelanggan kami, pihak berkepentingan dan negara,” ujarnya.
Beliau menambah, “Pencapaian ini berjaya dicatat melalui usaha bersepadu dan bimbingan daripada Lembaga Pengarah, Badan Penasihat Syariah, pengurusan dan kakitangan.
Usaha gigih mereka adalah penting untuk mencapai dan mengekalkan penarafan berprestij ini. Kami merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pemegang saham, pelanggan dan pihak berkepentingan atas kesetiaan dan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi, dan kerana memilih BIBD sebagai rakan kongsi dipercayai mereka dalam perjalanan kewangan mereka.”