BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) meraih satu lagi pencapaian membanggakan selepas dianugerahkan Anugerah Best Managed Bank di Brunei oleh The Asian Banker, penyelidik perkhidmatan kewangan utama di rantau ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar, turut dianugerahkan dengan Anugerah The Asian Banker CEO Leadership Achievement untuk Brunei pada Persidangan Kewangan Masa Hadapan The Asian Banker di Bangkok, Thailand.
Pencapaian BIBD itu diberikan selepas ia dinamakan sebagai Bank Runcit Terbaik di Brunei oleh The Asian Banker selama tujuh tahun berturut-turut.
Mubashar Khokhar, yang hadir bagi menerima anugerah membanggakan, berkata, “Alhamdulillah, semua orang di BIBD sangat teruja dengan pengiktirafan ini, yang menjadi bukti komitmen dan usaha keseluruhan pasukan kepimpinan BIBD dan kakitangannya.
“Hakikatnya, anugerah-anugerah ini tidak menjadi kenyataan tanpa kepercayaan dan sokongan kakitangan, pelanggan dan stakeholder kami. Pencapaian ini akan mendorong kami untuk berkembang lebih besar dalam usaha kami untuk menjadi rakan untuk negara dan keseluruhan penduduk Brunei,” jelasnya.
Sementara itu menurut The Asian Banker, “Mubashar Khokhar diiktiraf atas kejayaannya mengukuhkan penguasaan pasaran bank tersebut di Brunei, menerajui bank tersebut menjadi pemimpin pasaran dari segi aset, deposit, kewangan dan keuntungan.”
The Asian Banker juga mengambil kira perkembangan platform digital BIBD, yang menggabungkan pelbagai tawaran bank itu di bawah satu payung, bagi menyaingi cabaran memenuhi keperluan para pelanggannya.
Antara 2016 dan 2018, di bawah kepimpinan Mubashar Khokhar, BIBD dilihat telah menghasilkan transaksi digital berkembang sebanyak tiga kali ganda melalui platform BIBD NEXGEN.
