BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) kini sedang mengadakan siri terakhir Jerayawara ‘Digital, Coffee, And You’ di Cawangan Serusop di mana ia akan berlangsung selama tiga hari hingga 29 April.
Pada jerayawara berkenaan, BIBD mempromosikan mengenai pemahaman lebih mendalam dan manfaat perkhidmatan-perkhidmatan, keupayaan dan kemudahan bank digitalnya.
BIBD dalam kenyataannya juga berkata, sepanjang jerayawara berkenaan, mereka akan menyediakan hadiah-hadiah, pengecualian terhad ke atas bayaran pemprosesan dan juga secawan kopi daripada RansCoffee untuk mana-mana permohonan bagi Pembiayaan Peribadi, Pembiayaan Rumah, Skim Pembiayaan Penggabungan dan pendaftaran BIBD Mobile dan vCard.
Para pelanggan boleh mengambil peluang ini untuk mendapatkan promosi-promosi terhad terutamanya dengan bulan Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang, menurut kenyataan itu lagi.
Sebahagian daripada tema jerayawara berkenaan juga adalah untuk menyokong dan mempromosikan perusahaan pengusaha-pengusaha muda tempatan dan membantu mereka mempamerkan produk-produk dan perkhidmatan mereka kepada para pelanggan BIBD dan orang awam. Bagi jerayawara kali ini, BIBD menampilkan RansCoffee yang bermula dengan menjual kopi menerusi perkhidmatan pakej, acara-acara pop-up dan perkhidmatan penghantaran pada 2014 dan secara berkala mereka mengadakan kelas-kelas seni latte secara persendirian bagi penggemar kopi.
BIBD berharap, ia akan memberi lebih kesedaran dan pelanggan kepada pengusaha muda tempatan.
