BIBD umum CEO baharu

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, mengumumkan pelantikan Hajah Noraini binti Haji Sulaiman sebagai pemangku pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) BIBD yang akan berkuat kuasa mulai 1 Disember ini.

Menurut kenyataan dari BIBD, Hajah Noraini ketika ini menggalas jawatan sebagai timbalan pengarah urusan I, sudah terbabit dalam industri kewangan sejak 1997 dengan memegang pelbagai tugas meliputi jawatan pengarah dalam Kumpulan BIBD dan syarikat gabungannya.

Beliau juga merupakan ahli lembaga pengarah pelbagai organisasi.

Sehubungan dengan itu, Mubashar Khokhar yang dalam tempoh peminjaman dari Fajr Capital Limited (Fajr), Dubai sejak tahun 2015 akan meneruskan jawatannya sebagai pengarah urusan dan CEO hingga 30 November ini.

Pengawasan Mubashar Khokhar dan sumbangan Fajr sebagai rakan transformasi BIBD telah memudahkan transformasi strategik BIBD menjadi bank terbesar dan terkukuh di negara ini sehingga mampu menghasilkan prestasi cemerlang dari tahun ke tahun, dengan pertumbuhan keuntungan mantap.

BIBD kini merupakan sebuah institusi kewangan Islam terbesar di Negara Brunei Darussalam dan diiktiraf sebagai Bank Paling Selamat dan Bank Terkuat daripada penerbitan terkemuka seperti Global Finance dan The Asian Banker.

Manakala pemilihan BIBD sebagai Bank of the Year adalah mengikut pengiktirafan piawaian emas daripada majalah The Banker, sekali gus melambangkan perjalanan transformasi BIBD untuk menjadi institusi kewangan Islam bertaraf dunia.

Hajah Noraini dilantik sebagai pemangku pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif BIBD yang akan berkuat kuasa pada 1 Disember ini. – Gambar serahan BIBD