Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBDS lancar dana pelaburan pertama di Singapura

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Dalam usaha memperkenalkan dana pelaburan pertama yang diuruskan oleh Brunei, Bank Islam Brunei Darussalam Securities (BIBDS) telah melancarkan kelas saham Lindung Nilai SGD (kedua-dua kelas Pengumpulan dan Pengagihan) untuk Dana Kecairan Dipertingkat Islam Lion-BIBDS pada satu acara yang diadakan di Singapura.

    Menurut kenyataan yang diterima daripada BIBDS, selain tawaran dalam mata wang dolar AS sahaja sebelum ini untuk Dana Kecairan, dana itu kini menyediakan peluang kepada pelanggan, di dalam dan luar negara, bagi melanggan dalam mata wang Singapura, sementara meminimumkan risiko mata wang asing.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri. Turut hadir Pengarah Urusan BIBDS, Jason Wong.

    Pengembangan strategik ini menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi BIBDS untuk menyediakan pelbagai peluang pelaburan yang disesuaikan khas untuk memenuhi keperluan pelanggannya yang semakin berkembang.

    Dengan memperkenalkan kelas saham Lindung Nilai SGD, BIBDS bukan sahaja meningkatkan kebolehcapaian atau akses dana kepada pelabur Singapura dan serantau tetapi juga menekankan keupayaannya dalam menguruskan risiko mata wang dengan berkesan.

    Awang Junaidi dan Jason Wong bergambar ramai bersama para jemputan pada majlis pelancaran di Singapura. – GAMBAR SERAHAN BIBDS

    Pengarah Urusan BIBDS, Jason Wong berkata, “Pelancaran kelas saham Lindung Nilai SGD merupakan peristiwa penting bagi BIBDS, me-ngukuhkan dedikasi kami untuk menawarkan penyelesaian pelaburan yang inovatif dan berteraskan pelanggan. Inisiatif ini sejajar dengan visi kami yang lebih luas untuk mengembangkan jejak kami dalam pasaran serantau utama selain menyediakan pelanggan kami dengan pilihan yang lebih bagi kepelbagaian portfolio.

    Beliau menambah, “Kami gembira untuk melanjutkan penawaran dana kami dengan pengenalan kelas saham Lindung Nilai SGD. Perkembangan ini mencerminkan kepakaran kami dalam pengurusan dana serta usaha berterusan kami untuk menangani pelbagai keperluan kewangan pelanggan kami.

    “Pasukan kami kekal komited untuk menyampaikan produk pelaburan terbaik yang mendukung prinsip kewangan Islam sementara mencapai hasil pulangan optimum,” kata beliau.

    Dana Kecairan Dipertingkat Islam Lion-BIBDS direka untuk menyediakan pelabur dengan penyelesaian kecairan yang stabil dan dipertingkatkan dan pada masa sama mematuhi prinsip kewangan Islam.

    Sehubungan itu, pelancaran dana di Singapura menandakan satu langkah penting dalam strategi pertumbuhan BIBDS, bertujuan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi pilihan pelaburan patuh syariah di rantau ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda