Thursday, July 4, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    BIBDS, LGI lancar dana patuh syariah bersama

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – BIBD Securities Sdn Bhd (BIBDS) dan Lion Global Investors (LGI) mengumumkan bersama pelancaran Lion-BIBDS Islamic Enhanced Liquidity Fund (the Fund), dana bersama pertama yang diurus di Brunei Darussalam dan dana kecairan dipertingkatkan patuh syariah pertama berdomisil di Singapura.

    Pengumuman pelancaran dana bersama berkenaan dilaksanakan dalam majlis yang berlangsung di The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.

    Dana itu berhasrat untuk memulihara modal dan meningkatkan pendapatan, pada masa yang sama mempunyai portfolio keseluruhan berisiko rendah dan mengekalkan tahap kecairan yang tinggi.

    Ia akan dilaburkan dalam portfolio instrumen berpendapatan tetap jangka pendek patuh syariah global yang pelbagai serta diurus secara aktif termasuk tetapi tidak terhad kepada simpanan Islam, instrumen pasaran wang dan sukuk yang diluluskan oleh Badan Penasihat Syariah BIBDS.

    Dana itu dimulakan dengan pelancaran awal pada Mac lalu dengan kelas saham USD dan pada mulanya hanya ditawarkan kepada pelabur bertauliah.

    Kwok Keng Han bersama para pegawai pelaburan BIBD hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Ucapan alu-aluan oleh Jason Wong. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir dalam majlis tersebut yang di adakan di Empire Brunei. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Sehingga 30 Jun, dana itu telah mengumpul aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak $63.3 juta. Saham kelas USD bagi dana berkenaan kini boleh didapatkan oleh semua pelabur dan kelas SDG-hedged akan boleh didapatkan pada 1 Ogos nanti.

    Di samping bermatlamat untuk mengekalkan modal sambil meningkatkan pendapatan, dana itu juga boleh bertindak sebagai penyelesaian berpotensi bagi mengatasi cabaran-cabaran pengurusan kecairan.

    Ketua Pegawai Pemasaran LGI, Kwok Keng Han menyatakan bahawa pihaknya percaya dana itu akan diterima baik kerana tawaran nilainya yang mempunyai sukuk dan menggabungkan simpanan Islam dan instrumen pasaran wang menawarkan para pelabur manfaat pulangan stabil dalam portfolio patuh syariah.

    “Tambahan pula, kami melihat prospek permintaan yang baik berpunca daripada kekurangan penyelesaian mudah tunai patuh Syariah di Asia Tenggara,” ulasnya lagi.

    Beliau turut berkata, kerjasama dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menandakan satu lagi peristiwa penting bagi LGI dalam mengintegrasikan peluang khusus ke dalam penyelesaian pelaburan arus perdana dan bagaimana ia mewakili usaha berterusan mereka dalam mengembangkan rangkaian produknya yang bergema dengan pelabur terutamanya dalam segmen yang kurang mendapat perkhidmatan.

    Sementara itu, Pengarah Urusan BIBDS, Jason Wong berkata bahawa kerjasama strategik itu bukan sahaja mengetengahkan BIBDS sebagai pemain serantau utama dalam pelaburan patuh syariah tetapi ia juga mengukuhkan lagi visi bersama dengan LGI untuk mendalami inovasi dalam ruangan kewangan Islam.

    Matlamat yang ingin dicapai, jelasnya lagi, adalah untuk mengembangkan barisan produk serta secara efektif menghubungkan pelabur-pelabur serantau dengan peluang-peluang patuh syariah.

    “Dana itu merupakan bukti komitmen bersama kami kepada kecemerlangan dan inovasi dalam bidang kewangan Islam.”

    Beliau berkata, ia memanfaatkan kekuatan bersama dan menandakan satu langkah penting ke arah menyepadukan keupayaan kewangan Islam Brunei dengan pasaran global, meningkatkan kedudukan kita sebagai pintu masuk untuk pelaburan patuh syariah di rantau Asia Pasifik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...